BANDAR GAZA – Seorang kakitangan sebuah hospital di selatan Gaza mendedahkan bahawa pihaknya terpaksa menggunakan lori aiskrim untuk menyimpan jenazah penduduk Palestin selepas bilik mayat sudah tidak mampu lagi menampung peningkatan bilangannya, lapor akhbar Daily Star semalam.
Sebuah video yang memaparkan pendedahan kakitangan Hospital Syahid Al-Aqsa di bandar Deir Al-Balah itu dimuat naik di laman sosial.
Ia memaparkan seorang kakitangan yang identitinya tidak didedahkan memaklumkan bahawa bilik mayat terlalu kecil untuk menampung bilangan mayat yang begitu banyak.
Mereka merupakan penduduk Palestin yang terkorban dalam serangan udara tentera Israel.
“Bilik mayat hospital ini sudah ‘lumpuh’. Peralatan lama tidak mencukupi dan berada dalam keadaan teruk.
“Disebabkan itu, hospital terpaksa menggunakan peti sejuk beku tambahan untuk menyimpan mayat,” katanya dalam bahasa Arab.
Tambah pekerja tersebut, hospital itu memerlukan bantuan dan sokongan kerana perkhidmatan kesihatan, simpanan mayat dan bilik mayat berada dalam keadaan teruk.
Pekerja tersebut turut dilihat membuka pintu belakang trak aiskrim yang menunjukkan beberapa jasad dibalut dengan beg berwarna putih.
“Trak-trak ini dibuat untuk mengangkut makanan, dan bukannya mayat,” kata lelaki tersebut sambil menambah, ada antara jasad yang berada di dalam trak selama dua hari. – AGENSI