fbpx

Konflik Palestin-Israel: 1.1 juta penduduk terperangkap selepas berpindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Palestin meninggalkan rumah mereka berikutan serangan Israel ke atas kem pelarian Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 15 Oktober lalu. - AFP

BANDAR GAZA – Rejim Zionis menyatakan semalam bahawa ia melakukan persiapan untuk melancarkan serangan darat di Gaza selepas memberi sedikit masa lagi kepada penduduk Palestin agar berpindah dari koridor utara yang menjadi sasarannya.

Tentera Zionis berkata, kawasan itu akan menjadi sasaran dalam fasa terbaharu serangan selepas Hamas melancarkan ribuan roket dan penyusupan masuk para pejuangnya ke Israel secara besar-besaran minggu lalu.

Sebelum ini, Israel memberi amaran kepada kira-kira 1.1 juta penduduk yang tinggal di utara Gaza agar berpindah ke selatan sebelum pencerobohan darat dilakukan di Bandar Gaza, yang dianggap pangkalan kepimpinan Hamas.

Menurut Rejim Zionis, penduduk Bandar Gaza tidak boleh menangguhkan pemindahan itu tetapi seorang jurucakap tentera berkata lewat kelmarin bahawa orang awam masih mempunyai masa untuk berpindah kerana serangan darat tidak akan bermula semalam.

Sejak Jumaat lalu, ribuan penduduk Gaza yang terperangkap kerana dikepung oleh askar Israel dan tidak boleh memasuki Mesir bertindak membawa apa sahaja barangan keperluan di dalam beg sebelum menyusuri jalan-jalan yang dipenuhi runtuhan bangunan.

Aliran jalan dipenuhi dengan kereta, lori, motosikal beroda tiga dan pedati keldai yang menyertai pergerakan besar-besaran ke arah selatan dengan semuanya sarat dengan ahli keluarga serta barangan seperti tilam, peralatan tempat tidur serta beg yang diikat pada bumbung kenderaan.

Penduduk yang telah tiba berkumpul di selatan Semenanjung Gaza semalam, dengan ada yang meletakkan katil di atas jalan raya selepas sekolah-sekolah yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dipenuhi pelarian yang berpindah.

Ada yang dilihat tidur bertilamkan tanah dan berbantalkan lengan selepas mereka diarah meninggalkan utara wilayah tersebut secara serta-merta oleh Rejim Zionis.

Di Hospital Nasser, Khan Yunis, beribu-ribu orang berkumpul di halaman dan lorong-lorong kemudahan perubatan tersebut untuk mencari makanan, air dan tempat tidur, demikian menurut wartawan AFP.

“Situasi di sini bagaikan malapetaka. Kami tidak mempunyai makanan dan tidak boleh tidur. Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan. 

“Saya menyerahkan nasib kepada Tuhan. Ajal dan hidup ditentukan oleh Tuhan,” kata seorang pelarian, Jumaa Nasser yang mengembara dari Beit Lahia di utara Gaza bersama isteri, ibu dan tujuh anaknya.

Dalam pada itu, di luar hospital, terdapat keluarga duduk di atas tanah dengan bunyi tangisan kanak-kanak didengari tanpa henti ketika orang dewasa merenung nasib mereka.

Kakitangan perubatan turut keletihan kerana terpaksa bekerja sepanjang masa ketika hospital-hospital sudah mencapai kapasiti maksimum.

Seorang bapa, Ahmed Abu Shaar, yang mempunyai 13 orang anak berkata: “Keadaan kami amat tragis. Makanan dan air tidak mencukupi. Kami tidak tahu sama ada kami akan mati di sini atau akan terpaksa melarikan diri ke Mesir. Jika kami kembali ke rumah pun, mungkin ia telah musnah.”

Wartawan-wartawan AFP yang berada di Rafah berkata, mereka melihat orang ramai mencari tempat tinggal baharu, manakala kira-kira 200 orang berpusu-pusu untuk mendapatkan gas memasak di pintu masuk ke Rafah.

“Saya telah menunggu dalam barisan selama sejam untuk mendapatkan gas supaya kami boleh memasak dan memberi makanan kepada kanak-kanak,” kata salah seorang daripada mereka, Ahmed Abu Ruk. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI