fbpx

Ibu bapa tidak boleh minta anak tanggung, anak jangan lepas tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Salim (kiri) Shila dan PU Syed.

PETALING JAYA – Ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab membesarkan anak dengan seikhlas hati kerana semuanya bakal dipertanggungjawabkan ke atas mereka di akhirat kelak.

Buat anak-anak pula, ingatlah syurga itu berada di bawah tapak kaki ibu dan bapa.

Kata Pencetus Ummah (PU) Syed, ibu bapa tidak boleh meminta anak-anak menanggung mereka atas alasan untuk membalas jasa. Bahkan, tanggungjawab pemberian nafkah jatuh pada bahu kedua ibu bapa sehinggalah anak tersebut mampu berdikari dan boleh menampung kehidupan sendiri.

Bagaimanapun, sekiranya ibu bapa tidak mampu untuk menanggung kehidupan, anak-anak tidak boleh lepas tangan dan perlu menyara mereka.

“Pernah pada zaman Rasulullah SAW dahulu, datang seorang pemuda mengadu kepada Baginda tentang ayahnya yang menginginkan hartanya.

“Baginda Nabi menjawab, “kamu dan hartamu adalah milik bapamu,” (Hadis riwayat Imam Ibn Majah No. 1870),” ulasnya.

Sekiranya ahli keluarga saling berbalah dan mempunyai masalah tertentu, PU Syed menasihatkan agar semua pihak memuhasabah diri dan cari jalan terbaik untuk selesaikan masalah tersebut.

Memutuskan tali silaturrahim merupakan satu perbuatan yang ditegah dalam agama. Lari dari masalah tidak akan menyelesaikan apa-apa.

“Jangan berkira dengan mereka yang telah banyak berkorban untuk kita. Bahkan, kita juga dianjurkan untuk memohon rahmat dan keampunan buat ibu dan ayah pada setiap waktu,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai tindakan segelintir ibu bapa yang menyuruh anak-anak bekerja dari kecil sehingga mereka tidak mempunyai kebebasan kewangan, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ibu bapa haruslah menitikberatkan pembelajaran serta pendidikan anak-anak dan bukannya mengerahkan anak-anak untuk bekerja dengan alasan untuk membantu keluarga.

“Ibu bapa yang baik sentiasa mengutamakan kejayaan dan kebajikan anak-anak dan berkorban untuk kebahagiaan mereka pada masa hadapan tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Insya-Allah apabila anak-anak berjaya nanti maka secara langsung atau tidak ibu bapa juga akan mendapat faedahnya,” katanya.

Wan Salim juga sempat menasihatkan keluarga yang berbalah supaya hentikan perbuatan menjaja kisah keluarga sendiri di media sosial sehingga terputusnya ikatan silaturahim.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, pelantun lagu Patah Seribu, Shila Amzah sekali lagi menjadi perhatian netizen apabila perbalahannya bersama ahli keluarga dijaja di media sosial.

Krisis dalaman keluarga Shila bermula selepas adik bongsunya, Syada membuat luahan mencari rumah sewa disebabkan bakal dihalau keluar dari kediaman yang didiami bersama ibu mereka.

Rentetan itu, suami Shila, Ubai tampil mendedahkan pasangannya bekerja sejak kecil selain tidak memegang kad bank serta pengenalan diri sehingga berumur 28 tahun.

Pelantun Patah Seribu itu turut memperincikan hal menjual rumah serta sikap Syafiq dan Syada sehingga ibu mereka, Fauziah Sarman pula tampil yang menghangatkan lagi konflik tersebut.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI