fbpx

HSA bantu individu diikat hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurull dan pasukannya berhasrat membantu 1,000 individu menyelesaikan masalah hutang menerusi program PICK.

PETALING JAYA – Hutang ‘keliling pinggang’ boleh memusnahkan kehidupan sehingga mampu membuatkan seseorang itu menghadapi tekanan hidup, murung dan boleh membawa kepada maut.

Semangat yang kuat dengan disokong oleh orang tersayang serta tekad untuk mencari jalan penyelesaian adalah perkara terbaik untuk mereka keluar daripada kemelut tersebut, apatah lagi jika berdepan dengan masalah yang melibatkan pinjaman along.

Bagi Pengasas Harvard Scho­lar Academy (HSA), iaitu sebuah syarikat perunding pengurusan hutang, Nurull Rahmat, insiden pernah berdepan kecaman pelbagai pihak yang meminta hutang bagi pihak salah seorang daripada individu yang dipercayainya membuatkan beliau tekad untuk keluar daripada kepompong hidup yang dibelenggu hutang beratus ribu ringgit.

Wanita berusia 38 tahun yang pernah bekerja di sebuah syarikat dengan pendapatan RM1,900 sebulan itu terpaksa menanggung hutang untuk pembiayaan peribadi, pinjaman kereta dan rumah yang bukan atas namanya sendiri.

“Saya terpaksa ikat perut de­ngan hanya berbelanja sebanyak RM2 sehari untuk mengawal bajet bulanan agar kami sekeluarga tidak kelaparan.

“Bermula daripada kepayahan selama lima tahun dengan me­lakukan pelbagai usaha, akhirnya saya berjaya melangsaikan segala hutang yang tertunggak,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Bebanan hutang berlebihan boleh mengganggu minda dan emosi penghutang. – Gambar hiasan

Wanita itu pernah membuat jualan secara online dan offline, berniaga secara kecil-kecilan di sebuah pasar raya besar dan seterusnya bekerja di sebuah koperasi pada tahun 2018, semua­nya untuk membayar hutang yang membelenggu kehidupannya dan anak-anak.

Tuhan mendengar doa hamba-Nya dan Nurull beroleh peluang baharu setelah ditugaskan dalam jabatan pengurusan pinjaman ahli dalam koperasi ber­kenaan.

Bermula di situ, kerjaya tersebut menjadi platform untuknya belajar kaedah menstrukturkan kewangan dan membina perancangan kewangan sewajarnya.

Nurull menerangkan, pengalamannya makin meluas apabila menyertai sebuah syarikat pe­ngurusan hutang sebelum berhenti untuk berdikari sendiri dan membina empayar HSA.

Wanita yang berkelulusan Diploma Engineering Business Management dari Universiti Teknologi Mara itu telah membantu hampir 300 orang menguruskan hutang masing-masing, yang terdiri daripada golongan profesional dan kakitangan kerajaan.

Perkhidmatan ditawarkan oleh syarikat yang telah berusia dua tahun itu adalah membantu menurunkan komitmen bulanan, menyelesaikan hutang awal, menyelesaikan masalah nama disenarai hitam oleh pihak bank dan institusi kewangan serta menyelesaikan bayaran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Lebih menarik, program yang dibangunkan, iaitu Program I Coach Kewangan (PICK) boleh membantu para pelanggannya memiliki wang tunai dan simpanan sendiri untuk hal kecemasan, serta menambah aset tetap bagi jaminan masa depan.

Nurull berjaya membantu hampir 300 individu menguruskan hutang masing-masing.

Nurull komited membantu mereka yang menghadapi masalah kewangan khususnya daripada golongan kakitangan awam dan profesional untuk merendahkan komitmen bulanan dengan mengurangkan kadar faedah pinjaman sedia ada agar mempunyai lebihan simpanan dengan memiliki aset.

Melalui pengalamannya, syarikat menyasarkan untuk membantu menyelesaikan masalah 1,000 pelanggan baharu yang berdepan dengan isu hutang melalui program PICK. Unjuran itu adalah pe­ningkatan signifikan daripada 100 pelanggan awalnya yang dibantu sebelum ini.

“Gaya hidup ke arah kemewahan, tidak pandai menguruskan perbelanjaan bulanan dan mudah membuat pinjaman khususnya dalam kalangan penjawat awam adalah antara faktor yang membuatkan ramai terjerat de­ngan hutang.

“Sehubungan itu, melalui program PICK, kami menjalankan sesi bim­bingan secara bersemuka atau secara online untuk membantu pe­langgan secara menyeluruh sehingga berjaya melangsaikan hutang ma­sing-masing, malah akan memiliki simpanan untuk jaminan masa depan,” ujarnya.

Ditanya me­ngenai bayaran yang dikenakan, Nurull menerangkan, ia adalah serendah RM5,000 tetapi nilai tersebut bukan dibayar oleh pelanggan secara te­rus kepada syarikat, tetapi akan dikira melalui prog­ram PICK yang di­sertai supaya tidak membebankan pe­langgan.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI