fbpx

Euro 2024: Itali terus tekan kedudukan England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ITALI berjaya mencatat kemenangan ke atas Malta awal pagi semalam untuk terus menekan kedudukan England dalam perebutan slot bagi Kumpulan C. - AFP

BARI – Itali terus memberikan cabaran terhadap England dalam perebutan takhta Kumpulan C kelayakan Euro 2024 selepas membelasah Malta 4-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium San Nicola awal pagi semalam.

Dua gol jaringan Domenico Berardi serta masing-masing satu gol menerusi Giacomo Bonaventura dan Davide Frattesi memastikan Itali berada di kedudukan kedua, mengekori rapat England dengan perbezaan tiga mata.

Jurulatih The Azzurri, Luciano Spalletti percaya kemenangan ke atas Malta mampu menjadi tonik buat anak-anak buahnya menjelang aksi penting menentang England yang akan berlangsung di Wembley Rabu nanti.

“Apa yang paling penting hari ini (semalam) adalah kami berjaya mengutip tiga mata. Saya sentiasa pastikan semua pemain tidak mengambil mudah setiap perlawanan, tidak kira menentang pasukan mana sekali pun.

“Saya dapat lihat semua pemain sudah mula menyesuaikan diri dan lebih serasi. Perlawanan hari ini (semalam) boleh dianggap sebagai pemanas badan sebelum kami pamerkan prestasi sebenar bertemu England nanti,” katanya.

Mengulas mengenai aksi Moise Kean yang terpaksa diletakkan di sayap kiri akibat ketiadaan pemain, beliau memuji pemain berusia 23 tahun itu kerana berjaya menjalankan tugas dengan cemerlang.

“Satu aksi yang cukup baik ditampilkan Moise (Kean) kerana dia menggunakan kelebihan fizikal bagi mengatasi pemain lawan. Tahniah kepadanya kerana sudah memberikan aksi 100 peratus selain menunjukkan kemampuan teknikal yang cukup baik,” ujar Spalletti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI