fbpx

Dewan Rakyat: Malaysia akan lakukan apa sahaja selesaikan isu Palestin – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG lelaki Palestin berjalan membawa roti melintasi kereta rosak dan serpihan di hadapan sebuah sekolah kendalian UNRWA selepas serangan Israel ke atas Bandar Gaza pada 9 Oktober lalu. – AFP

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sudah tiba masa untuk kerajaan Malaysia melakukan apa sahaja yang perlu untuk menamatkan kezaliman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

Menurut Anwar, tindakan tegas dan segera perlu dilakukan kerana jika dunia tidak berupaya melakukan apa-apa, bermakna dunia mengizinkan pembunuhan beramai-ramai rakyat Gaza di Palestin.

“Saya harap Tan Sri Yang di-Pertua (Dewan Rakyat) faham apa dimaksudkan dalam perbincangan-perbincangan kita ini dengan wakil-wakil negara (lain). Kita nampak keresahan dan nampak sudah ada jalan buntu kerana Israel diberi dokongan penuh oleh Amerika Syarikat (AS) dan Eropah,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Anwar berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan negara-negara Islam mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin.

Menurutnya, beliau akan ke Riyadh, Arab Saudi pada Khamis ini bagi menghadiri persidangan tetap di antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN dengan mengadakan perbincangan khusus mengenai tindakan yang perlu diambil.

Kata beliau, manakala Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan berangkat ke Jeddah malam ini atas undangan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi sidang berkenaan.

“Putera Mohammed menelefon saya beberapa hari lalu, meminta saya sambung sehari lagi pada 21 Oktober supaya diadakan perbincangan dan acara rasmi di Arab Saudi.

“Saya akan berbincang dengan teman lain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Mesir dan Turkiye, sama ada perlu untuk mengadakan beberapa pertemuan lain dengan pemimpin negara lain.

“Sesuatu lebih segera harus dilakukan. Barat dan Eropah mengambil sikap kepura-puraan dan hipokrit, keras terhadap Rusia dalam isu Ukraine dan mengizinkan kezaliman berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar membidas pihak tertentu dalam negara yang mendakwa kerajaan Malaysia enggan menghantar pasukan tentera ke Palestin.

“Pimpinan tentera minta saya sampaikan adalah tidak adil mana-mana dalam kalangan… dalam penyampaian mesej, dalam tazkirah mereka untuk menyinggung hal ini.

“Ini bukan keputusan kita boleh hantar dengan mudah mahu hantar tentera termasuk pendamai, keamanan atau koridor kemanusian. Itu mesti disepakati negara-negara jiran, kalau tidak pesawat kita tidak boleh mendarat. Jadi saya minta jangan dikelirukan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI