SHAH ALAM – Penyanyi Naqiu yang juga bintang All Stars Gegar Vaganza (GV10), secara terbuka memohon maaf dan mengakui kesilapannya apabila mempamerkan aksi mesra melampau bersama rakan duetnya, Misha Omar sewaktu konsert minggu keempat GV10, malam tadi sehingga menimbulkan rasa kurang senang netizen.
Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd. Najib, 37, sewaktu ditemui media menzahirkan rasa kesal dan meletakkan semua kesalahan tersebut di atas bahunya sendiri.
“Saya memohon maaf dan bertanggungjawab dengan kesalahan yang telah saya lakukan. Insya-Allah, saya akan pastikan perkara sama tidak akan berulang lagi.
“Apa yang saya lakukan semasa persembahan adalah perkara sensitif yang tidak sepatutnya berlaku. Tolong jangan salahkan rakan duet saya (Misha Omar) dan pasukan saya. Saya letakkan kesalahan terhadap diri sendiri,” ujarnya.
Ujar vokalis kumpulan Boboi itu lagi, aksinya berpimpin tangan dan berpelukan bersama Misha sewaktu mendendangkan lagu Aku Dan Dirimu, nyanyian asal Ari Lasso dan Bunga Citra Lestari terjadi secara spontan dan tidak dirancang.
“Perkara itu terjadi secara spontan dan tidak dirancang. Semua sedia maklum, persembahan saya sebelum ini memang melebih-lebih. Saya cuma mahu memberikan ‘mood’ kepada Misha sewaktu menyanyi.
“Tapi kali ini saya sendiri rasa perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku. Saya akui memang salah saya,” jelasnya.
Ditanya bagaimana penerimaan isteri terhadap persembahan yang dipamerkan, bapa kepada enam cahaya mata terbabit berkata, belahan jiwanya itu memintanya untuk bersedia menerima kecaman netizen.
“Isteri saya okey. Cuma, dia minta saya bersedia dengan kecaman netizen,” katanya
Malam tadi, Naqiu yang menduduki tempat ketujuh dengan markah sebanyak 65.50 peratus menuai perhatian netizen apabila tampil dengan aksi mesra yang disifatkan melampaui batas bersama Misha Omar.
Dalam persembahan tersebut, Naqiu dan Misha dilihat berpimpin tangan dan mesra persis pasangan yang bercinta.
Netizen menyifatkan aksi tersebut tidak sesuai dipamerkan memandangkan kedua-dua penyanyi itu sudah berkeluarga.
“Tak ada rasa malu ke anak-anak tengok? Sekurang-kurangnya jagalah perasaan isteri. Daripada minat, terus rasa tak suka,” kata seorang netizen.
“Geli persembahan begini. Pegang-pegang tangan. Bukan mahram pun. Terus rasa menyampah,” tegur seorang lagi netizen.
“Ini bukan ‘bersemut’, tapi berdosa namanya,” kata seorang lagi peminatnya. – KOSMO! ONLINE