PELAKON komedi popular era 1970-an, Suzanne Somers meninggal dunia di kediamannya di Palm Springs California, Amerika Syarikat, hari ini.
Lebih menyedihkan peminat, aktres terbabit menghembuskan nafas terakhir pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-77.
Menurut jurucakap keluarga, pemergian wanita bersemangat waja yang berjuang melawan kanser selama 23 tahun itu ditemani suami, Alan Hamel dan anak lelakinya, Bruce.
“Suzanne Somers meninggal dunia dengan tenang pada awal pagi Ahad (waktu tempatan),” kata R. Couri Hay dalam satu kenyataan.
Daripada kenyataan sama, difahamkan semua anggota keluarga mendiang telah berkumpul di kediaman selebriti tersebut bagi meraikan hari jadinya, hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, mendiang ditemani oleh suami tercinta, Alan, anak lelaki, Bruce dan keluarga terdekat.
“Keluarga merancang untuk menyambut hari lahir mendiang yang ke-77 yang jatuh pada tarikh 16 Oktober, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk meraikan pencapaian luar biasanya,” ujar kenyataan tersebut.
Bintang Three’s Company yang turut meraih kemasyhuran menerusi sitkom Step by Step sebelum ini didiagnosis menghidap barah payudara pada tahun 2000.
Pada Julai lalu aktres terbabit membuat pengumuman sel itu kembali menyerang buat kali kedua.
“Saya pernah menghidap barah payudara dua dekad lalu dan kanser kembali menyerang. Saya akan berusaha untuk menewaskannya sekali lagi.
“Saya sedar perlu sarung sut pertarungan sekarang. Ini medan peperangan yang bukan lagi asing. Saya sangat kuat,” katanya dalam Instagram.
Mendiang yang juga penulis dan jurulatih kecergasan terkenal memulakan karier lakonan sejak era 1960-an termasuk siri televisyen popular seperti The Love Boat dan One Day at a Time.
Pada 1977, Somers mendapat tawaran melakonkan watak Chrissy Snow dalam Three’s Company bersama teman gandingan, mendiang John Ritter, sekali gus melonjakkan namanya sebagai pelakon sitkom popular Hollywood.
Somers membintangi sitkom itu sehingga musim kelapan disusuli Step by Step sebanyak tujuh musim sekitar 1990-an, selain mengendalikan program bual bicara sendiri, The Suzanne Show dan rancangan realiti, Dancing with the Stars.
Antara pencapaian dan anugerah yang pernah dimenanginya adalah People’s Choice Award dan pencalonan anugerah Golden Globe pada 1978.- KOSMO! ONLINE