KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menyokong inisiatif-inisiatif yang baik dalam Belanjawan 2024 seperti dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Larut selaku Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sokongan itu adalah demi masa depan rakyat dan negara.
Justeru, beliau menyarankan kerajaan meningkatkan usaha menstrukturkan semula ekonomi ke arah yang lebih progresif dengan penyertaan masyarakat secara menyeluruh.
“Sebagai sebuah negara perdagangan yang sedang membangun, Belanjawan 2024 seharusnya bersifat mesra pertumbuhan, mesra perniagaan dan mesra rakyat.
“Kerajaan harus terus melaksanakan perancangan teliti dan penambahbaikan bagi meningkatkan pelaburan asing,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Hamzah berkata, Malaysia memerlukan enjin pertumbuhan ekonomi yang baharu serta perubahan dalam kerangka dan hala tuju ekonomi untuk membolehkan potensi sebenar ekonomi dioptimumkan
Menurut beliau, menjadi harapan PN untuk melihat ekonomi negara membangun sehingga diiktiraf sebagai paksi ekonomi dalam rantau ini sebelum tahun 2030. – KOSMO! ONLINE