BIARPUN Sabtu ini ‘usia’ perkhidmatan Kim Pan-gon baharu genap setahun sembilan bulan, jurulatih itu sudah membuktikan elemen magisnya tetap relevan dalam dunia bola sepak moden.
Sejak diumumkan sebagai pengendali baharu Harimau Malaya pada 21 Januari tahun lalu, jurulatih dari Korea Selatan itu sudah merubah cerita skuad kebangsaan secara total dengan mencipta pelbagai variasi pendekatan taktikal setiap kali turun beraksi.
Dengan ‘bahan mentah’ yang dimilikinya ketika ini, Pan-gon berjaya memanipulasi kelebihan pemain dan paling mencuri perhatian adalah ketika memberikan peranan baharu kepada Arif Aiman Hanapi selaku second striker di belakang Darren Lok.
Walaupun ia adalah tugasan baharu buat Arif Aiman, Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK22) sudah membuktikan pendekatan itu mampu menghadirkan nilai tambah kepada pasukan.
“Memang jurulatih letak saya sebagai penyerang kedua, jadi saya kena main macam biasa walau di mana sekalipun saya diletakkan. Kita tahu kita ada Akhyar (Rashid) dan Faisal (Halim), jadi jurulatih letakkan saya di posisi itu kerana mahu ada pemain yang boleh berlari ke depan.
“Kita ada banyak peluang untuk jaringkan gol (ketika menentang India) tetapi mungkin tidak ada rezeki. Jadi kami kena baiki kelemahan itu untuk menghadapi perlawanan akan datang,” kata Arif Aiman.
Ketika ini, Pan-gon sudah menjelaskan mahu memanfaatkan pemain dimilikinya semaksimum mungkin khususnya dalam aspek kelajuan, sekali gus mampu mempraktikan permainan menyerang dengan lebih berkesan.