PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Aishah dikritik netizen apabila dianggap tidak bersikap profesional selepas memberikan ucapan tidak sepatutnya setelah tersingkir dalam program All Stars Gegar Vaganza musim ke-10 (GV10), malam tadi.
Selepas diumumkan menduduki tangga terbawah dengan markah sebanyak 43.75 peratus, sekali gus menjadi peserta ketiga yang tersingkir dalam GV10, Aishah secara spontan berkata, penyingkirannya dalam program tersebut merupakan doa orang ramai yang akhirnya dimakbulkan.
Rata-rata berpendapat, sebagai penyanyi senior yang berpengalaman lebih daripada 30 tahun dalam bidang nyanyian, Aishah atau nama lengkapnya Wan Aishah Wan Ariffin, 58, perlu mempamerkan sikap profesional dan menerima hakikat pertandingan.
Menerusi tinjauan Kosmo! Online, ramai netizen mengkritik cara dan sikap penyanyi yang popular menerusi lagu Janji Manismu itu apabila dianggap bersikap tidak profesional selain dikatakan suka ‘buat muka’ apabila dikomen di atas pentas.
“Tak profesional langsung. Sebagai penyanyi berpengalaman, tidak seharusnya bagi ucapan sebegitu. Seolah-olah menyalahkan orang ramai sebab dia terkeluar dari pertandingan,” kata seorang netizen.
“Jadilah penyanyi profesional kak Aishah. Rezeki lain-lain. Inikan pertandingan,” tegur seorang lagi netizen.
“Sebaik-baiknya berikan ucapan yang positif setelah tersingkir. Bukannya ucapan yang negatif. Anda mengatakan ramai yang mendoakan anda terkeluar. Jika anda tidak bagus, pasti akan terkeluar. Adat pertandingan,” kata seorang pengguna media sosial.
Sewaktu konsert minggu keempat GV10 yang berlangsung malam tadi, Aishah yang menyanyikan lagu Terlanjur Cinta secara duet bersama penyanyi, Vince terpaksa akur apabila tersingkir.
“Rasanya ramai yang gembira apabila doa mereka dimakbulkan untuk lihat saya tersingkir,” ucap Aishah sewaktu diumumkan sebagai peserta GV10 yang terkeluar.
Ucapan yang terluncur daripada mulut penyanyi itu membuatkan ramai pihak terkejut apabila menyifatkan Aishah seolah-olah menyindir netizen yang selama ini tidak suka dengannya. – KOSMO! ONLINE