PETALING JAYA – Nama penyanyi juga pengacara sensasi, Elly Mazlein dan suami, Mohamad Azlan Che Nuh kini disebut-sebut pasangan rahsia yang bakal mengisi kekosongan satu lagi tempat dalam program Famili Duo musim ketiga (FD3) yang bermula malam ini.
Menerusi hebahan Facebook TV3, pasangan rahsia tersebut telah dinamakan sebagai ‘K’ & husband (suami).
Rata-rata netizen mula membuat andaian bahawa nama samaran ‘K’ merujuk gelaran Elly Mazlein iaitu Kak Lina Pom Pom atau mesra disapa Kepom.
Lebih menguatkan andaian, apabila gambar berupa bayang-bayang pasangan rahsia itu mirip gambar Elly dan suaminya ketika mereka berkahwin.
Dalam ruangan komen, ramai pengguna media sosial teruja dan yakin bahawa Elly dan suaminya merupakan peserta rahsia yang bakal meriuhkan pentas FD3 selepas pengacara itu menarik diri sebagai hos program All Stars Gegar Vaganza musim ke-10 (GV10) pada Rabu lalu.
“Kak Lina! Saya yakin. Lagi pun dia sudah tidak lagi menjadi hos GV10,” ujar seorang netizen.
“Itu gambar bayang-bayang Kak Lina ketika majlis perkahwinannya,” kata seorang lagi netizen.
“Kalau betul Kak Lina mesti gempak!” kata seorang peminatnya teruja.
Bahkan, ada juga segelintir netizen berasa lega dan gembira apabila masih boleh menyaksikan telatah Kak Lina Pom Pom selepas ibu kepada dua orang cahaya mata itu meninggalkan pentas GV10 sebagai pengacara.
“Peminat Kepom mesti tukar channel (siaran televisyen) minggu ini,” kata seorang pengguna Facebook.
Terdahulu, Elly mengejutkan peminatnya apabila mengundurkan diri sebagai pengacara tetap GV10 yang turut diacarakan bersama pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Pengumuman secara tiba-tiba itu dikeluarkan sendiri oleh pihak penyiar stesen televisyen Astro dalam satu kenyataan apabila memberitahu Elly tidak lagi bersama keluarga besar GV10 disebabkan hal peribadi.
Dalam kenyataan sama, Elly turut mengemukakan permohonan maaf kerana tidak dapat meneruskan tugasnya mengacara GV10 di samping Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya sepanjang siaran All Stars Gegar Vaganza. Sesungguhnya saya amat menghargainya,” katanya.
Elly atau nama lengkapnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 42, sebelum ini dikecam hebat kerana gaya pengacaraannya dikatakan ‘hyper’, ‘over’ (melebih-lebih) dan gedik. – KOSMO! ONLINE