KUALA LUMPUR -Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas kepada individu masih mempamerkan atau melekatkan lambang Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang pada kenderaan masing-masing.
Ia susulan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang memberi peringatan kepada penerima darjah penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang, semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan mempamer atau melekat lambang Darjah-Darjah Kebesaran merupakan kesalahan yang boleh diambil tindakan.
“Tindakan diambil di bawah Seksyen 3(1)(D) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 yang meperuntukkan (tiada seorang pun boleh kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan mempamer atau melekat apa apa bahan yang mengandungi apa-apa gelaran, anugerah, replika mengenainya pada kenderaan),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Razaruddin memaklumkan tindakan akan diambil jika terdapat mana-mana kenderaan yang masih mempamerkan lambang darjah kebesaran negeri Pahang.
“Tindakan diambil selaras dengan Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017,” katanya.
Semalam, Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dilaporkan berkata, peringatan itu dibuat bagi menjunjung titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kini bersemayam di Istana Negara.
Tegas beliau, penerima darjah kebesaran dan pingat didapati melanggar atau melakukan kesalahan di bawah enakmen ini akan berhadapan dengan tindakan penarikan balik darjah dan pingat yang dikurniakan.
“Manakala, mereka yang didapati menggunakan gelaran palsu juga boleh didakwa mengikut peruntukan sama,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Ahmad Khirrizal berkata, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dimohon untuk bekerjasama dalam mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang melakukan kesalahan berkenaan.-KOSMO! ONLINE.