KEHADIRAN cahaya mata dalam sebuah keluarga diibaratkan sebagai penyeri kebahagiaan.
Zuriat juga menjadi pengerat dan pelengkap kasih sayang pasangan suami isteri untuk membina sebuah keluarga sempurna.
Tidak ada pasangan yang berkahwin, tidak mengimpikan kehadiran cahaya mata, namun siapalah manusia untuk menolak takdir andai belum diizinkan untuk menyandang gelaran sebagai ibu bapa.
Begitulah situasi yang dilalui pelakon, Aprena Manrose dan suaminya, Mohd Afiq Hazman ketika ini.
Selepas tujuh tahun disatukan sebagai pasangan suami isteri, rezeki untuk mereka menimang anak sendiri masih belum diizinkan Tuhan.
Pelbagai ikhtiar telah dilakukan, termasuk melakukan proses rawatan kesuburan in-vitro (IVF) pada tahun lalu, namun rezeki masih belum memihak kepada Aprena dan suami.
Sejujurnya, pemilik nama lengkap Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 30, sering dibelenggu rasa sedih jika memikirkan soal anak, namun sekarang, dia lebih reda dan percayakan hukum rezeki.
“Tahun ini merupakan tahun ketujuh perkahwinan. Bercakap soal anak, sejujurnya saya sudah reda.
“Kalau dahulu memang saya tertekan bila bercakap soal cahaya mata. Rasa sangat sensitif. Bila saya dan suami sudah pun lakukan rawatan IVF, namun rezeki masih belum ada, saya menangis sebab terlalu kecewa.
“Sekarang, saya sudah reda. Mungkin Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kami,” kata Aprena yang berhabis sekitar RM15,000 untuk melakukan rawatan IVF di sebuah pusat perubatan swasta, sekitar Julai tahun lalu.
Tambah adik kepada pelakon Oktovia Manrose itu lagi, ketika menjalani rawatan IVF, dia terpaksa berehat selama setahun dalam usaha untuk dikurniakan cahaya mata.
Biarpun tiada rezeki setelah mencuba, perkara itu tidak sesekali mematahkan usaha Aprena dan suami untuk berusaha menimang cahaya mata melalui kaedah semula jadi.
“Ketika buat IVF, selama setahun saya berehat. Walaupun tidak berjaya, saya dan suami masih berusaha untuk dapatkan cahaya mata secara semula jadi.
“Kalau ada rezeki, adalah. Kalau tiada, mungkin rezeki saya nanti ada ‘di sana’ (akhirat),” luah anak kepada bekas penyanyi dangdut terkenal, Iwan Syahman itu.
Bercakap tentang perancangan mengambil anak angkat, pelakon yang pernah membintangi drama Tiada Arah Jodoh Kita itu terbuka soal anak angkat sebagai pengganti, namun suaminya agak keberatan.
Kata Aprena, suami bimbang seandainya suatu hari nanti mereka dikurniakan rezeki menimang zuriat sendiri, dia gagal untuk memberikan kasih sayang sama adil dengan anak angkat.
“Saya okey, tiada masalah. Tapi suami agak keberatan. Dia risau, jika kami dapat anak sendiri, macam mana nak bahagikan kasih sayang antara anak kandung dengan anak angkat.
“Melainkan kami dah ada anak sendiri, kemudian baru ambil anak angkat. Perkara itu mungkin berbeza,” jelasnya yang tetap menjalani kehidupan gembira dan bahagia, walaupun tanpa kehadiran seorang zuriat.