JOHOR BAHRU – The Mall, Mid Valley Southkey (pusat beli-belah) dan St. Giles Hotel Southkey (hotel) yang menerima panggilan ancaman keselamatan semalam akan beroperasi seperti biasa pada hari ini.
The Mall dalam satu kenyataan berkata, langkah itu diambil setelah pihak berkuasa mendapati premis tersebut berada dalam keadaan selamat dan bebas daripada segala ancaman.
Menurut kenyataan itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor yang menjalankan siasatan dan pemeriksaan secara menyeluruh tidak menemui sebarang bukti ancaman.
“Kira-kira pukul 6.30 petang semalam The Mall, Mid Valley Southkey dan Hotel St. Giles telah dikosongkan sebagai tindak balas kepada ancaman keselamatan melalui panggilan telefon oleh pihak tak dikenali.
“PDRM dan JBPM Johor segera tiba di lokasi susulan laporan berhubung perkara itu telah menjalankan siasatan dan pemeriksaan secara menyeluruh di kawasan itu namun tidak menemui sebarang bukti ancaman.
“Setelah membuat pemeriksaan tersebut, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat telah memaklumkan premis itu selamat untuk penginap, pekerja, tetamu dan pengunjung pada pukul 12.15 tengah malam tadi,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pihak pengurusan pusat membeli-belah itu telah memberi kerjasama baik membantu dalam kelancaran pengosongan bangunan tersebut.
Dalam pada itu, Raub ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan menjelaskan tiada bukti penemuan ancaman bom seperti didakwa individu yang membuat panggilan telefon ancaman keselamatan itu.
Beliau berkata, bertindak di atas maklumat tersebut pada pukul 6.15 petang, seramai 92 orang pegawai kanan polis dan anggota termasuk dua unit anjing pengesan K9 dan unit pemusnah bom telah sampai ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut.
Tambahnya, operasi itu turut dibantu seramai 23 pegawai dan anggota JBPM Johor yang turut berkejar ke tempat kejadian.
“Sehingga pukul 11.30 malam, keseluruhan kawasan bangunan pusat beli-belah dan hotel telah diperiksa oleh unit pemusnah bom dan anjing pengesan K9. Sehingga kini tiada terkesan sebarang objek yang mencurigakan serta mengesahkan kawasan selamat untuk beroperasi seperti biasa.
“Walaubagaimanapun, pihak polis masih lagi berada di lokasi kejadian untuk menjalankan pemerhatian lanjut dan sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya.
Raub memberitahu, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Tambahnya, pihak polis menasihatkan orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.-KOSMO! ONLINE.