SHAH ALAM – “Ini barulah Gegar Vaganza, keserasian antara Nabil dan Jihan memang tidak dapat disangkalkan lagi”.
Itu antara respons netizen dalam platform media sosial usai All Stars Gegar Vaganza (GV10) minggu keempat membuka panggung tanpa kehadiran Elly Mazlein.
Tidak hanya itu, terdapat juga netizen yang berpendapat acara nyanyian tersebut sepatutnya dari awal dikemudi tanpa Elly Mazlein.
“Bukan tak suka Kak Lina, tapi hanya Nabil dan Jihan yang mampu hidupkan acara nyanyian macam GV,” komen sorang peminat.
“Sedihnya Kak Lina dah tiada minggu ini tapi perlu diakui Jihan dan Nabil sudah mencukupi,” demikian komen seorang lagi peminat.
“Pembukaan yang tak over dan tergedik-gedik, santai macam ini baru okay,” ciap seorang pengguna media sosial.
Sebelum ini, Astro membuat pengumuman mengejut mengenai pengunduran Elly yang tidak lagi bersama keluarga besar GV10 disebabkan hal peribadi.
Malah, pemilik nama lengkap Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu turut mengemukakan permohonan maaf kerana tidak dapat meneruskan tugasnya mengacara GV10 bersama Nabil dan Jihan.
Terdahulu, pelantun lagu Sabarlah Hati itu dikecam teruk dek gaya pengacaraannya dikatakan ‘hyper’, ‘over’ (melebih-lebih) dan gedik.
Selain itu, dia juga dikatakan seperti mencuri terlalu banyak perhatian ramai sehingga menenggelamkan barisan peserta yang bertanding.
Ibu kepada dua orang cahaya mata itu mengakui penat membawakan karakter Kak Lina Pom Pom namun sifat asalnya jauh berbeza daripada apa yang berlaku di sebalik tabir. – KOSMO! ONLINE.