PETALING JAYA – “Apabila rasa, kualiti dan kuantiti tidak seperti yang ditularkan. Begitulah jadinya, sekali sahaja orang datang.”
Demikian komen yang ditinggalkan oleh pengguna media sosial, Mohammad Nazrin Kamim berhubung laporan Kosmo! mengenai nasib kedai-kedai makan tular yang dahulunya meriah tetapi kini bertukar suram.
Dalam mengoperasikan kedai makan, kualiti dan kuantiti hidangan merupakan antara perkara utama yang perlu dititikberatkan oleh pemiliknya.
Namun lain pula jadinya apabila segelintir pengguna media sosial mengeluh asbab populariti gerai makanan yang dahulunya dikunjung ramai pelanggan merundum kerana rasanya yang tidak ‘sampai’.
“Kalau sedap, tidak perlu tular pun orang datang. Selalunya jadi begini bila makanan tular. Bila orang pergi, rasanya biasa saja,” kata Bakri.
Ada netizen yang mengkritik harga di kedai makan tular tidak sepadan dengan kualiti yang ditawarkan.
“Tular tapi bila datang makan, rasa ‘out’. Kadang-kadang rasa ‘ada’ dan unik, tetapi harganya pula melampau. Rasanya selain `viral’, perlu ada penelitian soal kualiti dan rasa makanan selain disokong faktor-faktor lain yang menarik,” kata Nash Hj Adnan.
Difahamkan, kedai makanan yang terkenal yang tular sebelum ini tidak bertahan lama ekoran faktor ekonomi yang kian mencabar serta trend bermusim. – KOSMO! ONLINE.