PETALING JAYA – Hati rakyat Malaysia tersentuh apabila menyaksikan bangkai kucing bergelimpangan angkara kekejaman peluru Israel di bumi Gaza.
Sehingga kini, puluhan malah mungkin ratusan haiwan tersebut menjadi korban dan sasaran ‘tanpa sengaja’ rejim Zionis.
Menjengah ke ruangan komen di media sosial, kebanyakan netizen meluahkan rasa sayu melihat foto dan video bangkai kucing di tanah Gaza.
“Bukan saja kucing menjadi mangsa malah anjing, kuda dan keldai di Gaza turut menerima kesan ‘pembersihan’ etnik,” tulis Sani Shariff.
“Semua haiwan juga akan bangun menjadi saksi di akhirat nanti. Semoga Allah melindungi rakyat Palestin dan makhluk yang teraniaya,” kata Mariah Saad.
“Biarpun haiwan, kucing juga dapat merasai kesakitan dan jangan kita sebagai manusia menyakiti mereka,” kata seorang pengguna media sosial.
Hanif Lc MA pula menambah, angkara manusia, haiwan terkorban. – KOSMO! ONLINE