PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan sokongan terhadap produk tempatan apabila menggayakan beg yang direka khas daripada batik pada Pembentangan Belanjawan 2024, Jumaat lalu.
Pereka utama ‘The Batik Boutique’, Nur Afiqah Faizalazmi, 26, berkata, pihak kerajaan menghubunginya kira-kira dua minggu sebelum pembentangan belanjawan itu sebagai tanda sokongan kepada batik asli Malaysia.
“Pada mulanya saya berasa agak cemas kerana (permintaan) terlalu mengejut, tapi saya dan artis batik bergabung untuk memastikan kami dapat menyiapkannya mengikut mas yang ditetapkan.
“Kami juga bekerjasama dengan artis batik tempatan dan ‘leather crafter’ untuk menghasilkan beg ini. Ini sebenarnya kali pertama saya mereka beg tersebut.
“Alhamdulillah semuanya okay (berjalan lancar),” katanya kepada Kosmo! Hari ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, wanita itu memberitahu ini merupakan antara pencapaian terbesar beliau sejak menyertai The Batik Boutique.
Afiqah berkata, dia berasa gembira kerana mendapat peluang tersebut seterusnya mengajak rakyat Malaysia menghargai batik.
“Saya perasan terlalu banyak corak cetak yang diinspirasikan daripada batik, tetapi tidak melalui proses pembuatan batik yang sebenar. Ini mampu menjejaskan makna sebenar batik Malaysia,” katanya lagi.
Kongsinya lagi, beg yang kini dimiliki PMX itu mengambil masa dua hari untuk direka, manakala proses pembuatan kain batik mengambil masa tiga hari. Lima hari lagi adalah proses buatan tangan dengan bantuan dari artis lokal dari Kelantan,” katanya.
The Batik Boutique juga menyokong ramai artis batik, tukang jahit dari Program Perumahan Rakyat (PPR) dan lain lain. – KOSMO! ONLINE,