PEMAIN beregu wanita negara, Pearly Tan berjanji akan segera pulih dan kembali ke gelanggang secepat mungkin selepas terpaksa menarik diri daripada pusingan kedua Terbuka Arctic di Vaanta, Finland kelmarin kerana masalah kecederaan.
Pearly yang bergandingan dengan M. Thinaah terpaksa membuat keputusan sukar itu sebelum turun menghadapi beregu Taiwan, Lee Chia Hsin-Teng Chun Hsun disebabkan masalah ketegangan otot dan belakang badan.
“Membuat keputusan adalah sesuatu paling sukar terutama apabila ia berada di pertengahan antara kamu mahukan dan apa yang betul. Mungkin pada masa ini tidak bermakna tetapi tiba masanya ia akan bermakna.
“Ini adalah masa untuk saya pulihkan diri. Terima kasih kerana masih meneruskan perjuangan bersama saya dan tidak pernah menyerah betapa sukarnya keadaan yang dialami.
“Saya tidak boleh berada di sini tanpa kamu (Thinaah). Saya berjanji akan berada di tahap terbaik dan bangkit secepat mungkin untuk beraksi di gelanggang semula,” kata pemain berasal dari Alor Setar, Kedah itu.
Pearly turut mengalami masalah yang hampir sama ketika mewakili kontinjen negara di Sukan Asia Hangzhou selain pernah mengalami kecederaan siku ketika menghadapi Terbuka Singapura pada Jun lalu.
Penarikan diri tersebut menyaksikan beregu negara di ranking kesembilan dunia itu perlu menunggu lebih lama untuk menjulang kejuaraan pertama mereka tahun ini.
Pencapaian terbaik Pearly-Thinaah tahun ini adalah muncul naib juara Malaysia Masters dan Terbuka Hong dengan kali terakhir merangkul gelaran antarabangsa di Terbuka Perancis pada Oktober 2022.