PENDUDUK setempat di bandar Reading, Pennsylvania, Amerika Syarikat, baru-baru ini sanggup beratur panjang demi memberikan penghormatan terakhir kepada mayat seorang lelaki yang telah diawet selama 128 tahun.
Dikenali sebagai ‘Stoneman Willie’, mumia tersebut telah dipamerkan dalam keranda terbuka di rumah pengebumian di bandar berkenaan selama hampir 13 dekad.
Keadaan kulitnya yang keras, berkilat dan cengkung telah menjadi bahan tatapan beribu-ribu pengunjung yang hadir ke rumah pengebumian tersebut.
Antara yang hadir adalah penduduk tempatan, penyelidik dan pelajar sekolah kerana Willie merupakan bukti kepada keberkesanan teknik mengawet pada zaman dahulu.
Menurut Pengarah Rumah Pengebumian Theo C Auman, Kyle Blankenbiller, sudah tiba masanya Willie diberikan penghormatan terakhir setelah bertahun-tahun ‘berbakti’ kepada masyarakat setempat.
“Sudah 128 tahun Willie berada di rumah pengebumian ini.
“Sudah banyak perkara berubah di kawasan ini, pengunjung yang datang juga berubah, namun Willie masih di sini.
“Oleh itu, kami membuat keputusan untuk memberikannya satu penghormatan terakhir kerana dia juga pernah hidup sebagai seorang insan,” katanya.
Sebelum proses pengebumian dilakukan, kakitangan rumah pengebumian bekerjasama dengan ahli sejarah tempatan untuk mencari identiti sebenarnya mumia itu.
Kajian mereka mendapati, lelaki yang diawet itu sebenarnya jasad seorang anak usahawan kaya, namun ditangkap akibat kesalahan menyeluk saku.
Nama sebenar lelaki berasal dari New York itu ialah James Murphy, berketurunan Irish dan mengalami masalah ketagihan alkohol.
Berdasarkan rekod hospital, Willie meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang ketika menjalani hukuman di penjara Berks County pada 1895.
Mengikut catatan rekod penjara, pengakhiran Willie sangat menyayat hati kerana tiada ahli keluarga yang menuntut mayatnya.
Namanya juga ditukar kepada James Penn ketika dalam tahanan supaya tidak mencemarkan nama keluarganya.
Oleh itu, tiada siapa yang mahu menguruskan pengebumiannya dan mayat Willie dihantar kepada rumah pengebumian.
Dengan itu, mayatnya digunakan sebagai satu subjek eksperimen kepada teknik pengawetan pada zaman tersebut.
Ini menyebabkan kulitnya menjadi kasar dan berpenampilan kurus, sementara rambut serta giginya masih utuh sehingga mendapat gelaran Stoneman Willie.
Rumah pengebumian tersebut mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa tempatan untuk menyimpan mayat Willie sambil memantau keberkesanan proses pengawetan berkenaan.
Namun setelah 13 dekad, Blankenbiller beranggapan Willie layak dikebumikan terutama setelah mengetahui kisah kehidupannya yang tragis.
Dia dikebumikan dengan berpakaian tuksedo era 1890-an, bertali leher, berselempang merah dan ditanam di bawah batu nisan yang diukir dengan namanya.
Pengebumian itu diiringi oleh motosikal sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-275 bandar Reading.
“Ini merupakan perkara yang wajar dilakukan.
“Semua orang datang ke Amerika Syarikat untuk mengejar cita-cita mereka (American Dream).
“Tiada siapa yang mahu meninggal di dalam penjara dan lenyap begitu sahaja,” ujarnya.