ALOR GAJAH – Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang mengemas kini jumlah pengambilan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai jurulatih bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang bakal dilaksanakan di kem tentera.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, perkara itu sememangnya telah dibincangkan sebelum kerajaan mengumumkan pelaksanaan semula program berkenaan dan kini di peringkat untuk memperhalusi bilangan kepakaran yang diperlukan di setiap kem.
Jelasnya, penglibatan warga veteran ATM dalam program PLKN bukan sahaja dapat melancarkan pelaksanaan program, tetapi secara langsung menyediakan kerjaya kedua kepada golongan itu untuk terus berbakti kepada negara.
“Itu memang (pengambilan veteran ATM menjadi jurulatih) salah satu daripada awal yang kita bincangkan, cuma bilangannya berapa sedang dikemas kini.
“Tujuan PLKN diadakan untuk memberikan lebih banyak latihan dan itu menjadi tanggungjawab anggota pertahanan kita, tetapi anggota veteran ini kita boleh manfaatkan,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke tapak projek induk Kompleks Akademi Al Bayan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, sistem pertahanan negara di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan sentiasa mengutamakan golongan veteran ATM, malah telah menetapkan kuota khusus untuk memelihara kebajikan warga itu di setiap kementerian.
“Memang sebenarnya dalam sistem pertahanan kuota di bawah kerajaan Madani ni, semua struktur yang melibatkan kementerian pertahanan itu keutamaan kita adalah veteran ATM.
“Sebab itu Belanjawan 2024 baru ini, semua kementerian mesti ada kuota untuk veteran ATM, jadi apa sahaja yang dibuat kementerian atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mesti ada bahagian mereka.
“Dengan cara itu sahaja kita boleh menyusun kerjaya kedua atau kerjaya baru veteran kita,” jelasnya.
Semalam, Timbalan Menteri Kewangan I merangkap Ahli Majlis Veteran Kebangsaan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengalaman dan kepakaran dimiliki veteran ATM boleh dikongsi bagi membantu kelancaran program PLKN.
“Cadangan melantik jurulatih PLKN dalam kalangan veteran ATM boleh membantu kelancaran PLKN mengikut pengalaman dimiliki oleh golongan tersebut ketika ini.
“PLKN 3.0 yang dicadang menggunakan kem-kem tentera sebagai lokasi latihan boleh memberi peluang kepada veteran ATM sebagai tenaga jurulatih,” katanya. – KOSMO! ONLINE.