TEHERAN – Iran semalam mengeluarkan amaran baharu kepada Israel yang mendesak agar Rejim Zionis menghentikan serangan ke atas Gaza sebelum ia menjadi terlalu lambat untuk diselesaikan, lapor laman berita Wion News.
Menteri Luarnya, Hossein Amir-Abdollahian semasa lawatan ke ibu negara Lebanon, Beirut berkata, masih ada peluang untuk mengelak krisis itu daripada meningkat di rantau Asia Barat.
“Namun, dalam tempoh beberapa jam akan datang, ia akan menjadi terlalu lambat untuk diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar di Beirut.
Hossein juga memberi amaran bahawa para pejuang pro-Iran bersedia untuk menembak askar-askar Israel dalam pertempuran antara Hamas dengan Rejim Zionis.
Walaupun Teheran menyuarakan sokongan kepada Hamas, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menafikan penglibatan negaranya dalam serangan yang tidak pernah berlaku itu sebelum ini. – AGENSI