LUMUT – Seorang individu rentung apabila kereta dipandunya terbakar selepas melanggar konkrit pembahagi tol di plaza tol Sitiawan, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) malam semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.25 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan tiba di lokasi 20 minit kemudian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat sebuah kereta jenis Toyota musnah terbakar sebanyak 80 peratus, dipercayai akibat melanggar pembahagi tol.
“Didapati terdapat seorang mangsa terperangkap dalam kenderaan dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, komander operasi, Khairul Azizi Kamaruddin kemudian mengarahkan anggota melakukan pemadaman menggunakan satu aliran ‘hose reel’ sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Beliau menjelaskan, identiti dan jantina mangsa tidak dapat dikenal pasti berikutan keadaan tubuhnya yang hangus terbakar.
Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan daripada kenderaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tersebut tamat pada pukul 12.15 tengah malam. – KOSMO! ONLINE.