KLANG – Kekerapan pengambilan makanan segera dalam kalangan wanita antara penyebab kanser payudara.
Jururawat Navigasi Cancer Research Malaysia, Hani Zainal berkata, ia juga dipengaruhi faktor genetik dengan mereka yang mempunyai obesiti turut berisiko menghidap kanser itu.
Katanya, tanda awal seseorang wanita menghidap kanser berkenaan adalah mempunyai benjolan di bahagian keseluruhan payudara, puting dan bawah ketiak.
“Wanita perlu ada kesedaran untuk membuat pemeriksaan bagi mengesan kewujudan kanser payudara di peringkat awal. Wanita sepatutnya melakukan pemeriksaan itu seawal umur 20 tahun setiap tiga tahun,” katanya ketika ditemui pada program ‘Pinky Run, Car Free Day’ di Stadium Kota Raja, di sini, hari ini.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman berkenan menyertai program dihadiri kira-kira 1,000 penduduk Klang itu yang bertujuan memberi kesedaran awal kepada masyarakat mengenai kanser payudara.
Hani menjelaskan, lebih 100 wanita didiagnosis menghidap kanser payudara di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sepanjang tahun ini dan kebanyakannya berada di tahap dua atau tiga,” katanya. -KOSMO! ONLINE