PETALING JAYA – Kedai atau gerai makanan yang dahulunya dikunjungi ramai pelanggan sehingga tular di media sosial, namun kini terdapat premis yang semakin suram dan sepi, malah sebahagiannya terpaksa gulung tikar.
Populariti kebanyakan kedai makanan tular tidak bertahan lama ekoran faktor ekonomi yang semakin mencabar dan per-
saingan perniagaan selain kehadiran pelanggan hanya mengikut trend bermusim.
Di Kuala Nerus, Terengganu, Dapo Pata berkonsepkan deretan gerai makanan dalam kontena yang pernah tular dan penuh dengan pengunjung pada enam tahun lalu kini semakin ‘sendu’.
Bilangan vendor yang berniaga di premis makanan yang terletak di pesisir Pantai Tok Jembal itu yang dahulunya 12 orang, tetapi kini tinggal dua sahaja.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Zubir berkata, sewaktu zaman kegemilangannya dari 2017 hingga 2019, Dapo Pata sentiasa dipenuhi pengunjung termasuk warga asing.
“Waktu itu Dapo Pata yang menawarkan pelbagai makanan tradisional dan moden dianggap antara destinasi pelancongan yang wajib disinggahi setiap kali berkunjung ke Terengganu.
“Namun ia mula merosot ekoran situasi ekonomi yang tidak menentu dan kuasa membeli pengguna semakin mengecil menyukarkan Dapo Pata untuk kembali bangkit selepas Covid-19,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Dapo Pata, di sini baru-baru ini.
Zubir berkata, satu persatu vendor terpaksa menutup operasi kerana kekurangan pelanggan.
Dia juga mengakui ramai juga menyangkakan Dapo Pata sudah terkubur, sedangkan ia masih lagi beroperasi walaupun dengan dua vendor termasuk dirinya.
“Sambutan pengunjung memang merosot teruk, namun saya optimis kami akan bangkit semula pada suatu hari nanti.
“Penganjur Dapo Pata telah merangka pembangunan baharu termasuk penyediaan fasiliti seperti surau, tandas dan galeri seni bagi menghidupkan semula premis makanan ini,” ujarnya.
Di Shah Alam, Selangor, seorang pekerja sebuah restoran yang popular dengan hidangan mangkuk, Aisyah, 30, mem-
beritahu, bilangan pelanggan kini menurun hampir tiga kali ganda berbanding sebelum ini.
Katanya, sebelum ini dalam sehari jumlah pelanggan mampu mencecah 400 orang, namun kini sekitar 100 sahaja.
“Banyak kedai yang dahulunya tular di kawasan ini pun telah gulung tikar terutama selepas pandemik Covid-19,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Jelas pekerja itu, kuasa beli yang kini semakin rendah ekoran kenaikan harga barang sehingga membuatkan orang ramai lebih berjimat-cermat dengan mengurangkan amalan makan di luar.
“Kedai kami ada menawarkan promosi setiap jenis mangkuk hidangan hanya RM2.20, namun masih belum dapat menarik pelanggan seperti sebelum ini,” ujarnya.
Seorang pekerja restoran lain, Mohd. Zakwanan Rosli, 21, pula berkata, sebuah daripada tiga cawangan restoran itu telah ditutup selepas pandemik Covid-19.
Ujarnya, restoran itu sebelum ini popular dengan hidangan Barat termasuk menggunakan dulang besar.
“Pelanggan kurang hampir 1,000 orang berbanding sebelum ini mampu mencecah 2,000 orang sehari.
“Harga memang ada kenaikan secara purata dalam 50 sen hingga RM1 disebabkan kos yang makin meningkat,” katanya.