MELAKA – Bapa kepada seorang pelajar yang ditemui lemas ketika meraikan majlis perpisahan guru pelatih di Pantai Mutiara, Kem Terendak, di sini kelmarin enggan menuding jari kepada mana-mana pihak di sebalik kejadian yang menimpa anak lelakinya itu.
Malah, Mohd. Faizal Hasan, 43, juga tidak mahu ada pihak yang menyalahkan guru pelatih terbabit, sebaliknya apa yang menimpa anaknya, Faris Darwisy, 16, sebagai takdir.
Faris Darwisy ditemui lemas pada pukul 9.25 kelmarin selepas berkelah di pantai itu bersama 14 rakannya yang lain bagi meraikan dua guru pelatih yang menamatkan tempoh latihan mengajar di sekolah mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak.
Menurut Mohd. Faizal, dia menyifatkan pemergiaan anaknya itu dalam cara yang baik iaitu pada hari Jumaat dan ketika cuba menyelamatkan nyawa rakannya yang hampir lemas sewaktu mandi-manda.
Jelasnya, rakan anaknya sempat merakamkan detik kejadian dan menyaksikan seorang komando tentera darat juga telah cuba menyelamatkan mangsa, tetapi terlepas daripada gengaman sebelum pelajar tersebut hilang dibawa arus deras.
“Rakan Angah (Faris) ada beritahu, kejadian berlaku selepas dua daripada rakannya turun mandi di pantai tersebut dan seorang daripadanya kemudian naik semula ke atas memaklumkan rakannya hampir lemas.
“Angah yang sedang makan ketika itu terus berlari turun ingin menyelamatkan rakannya.
“Dia hanya sempat keluarkan telefon bimbit daripada poket sebelum terjun ke dalam air dengan berpakaian lengkap,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Melaka, di sini semalam.
Mohd. Faizal yang juga Ketua Inspektor Penjara Sungai Udang berkata, dia percaya keberanian anaknya cuba menyelamatkan rakan didorong oleh keyakinan bahawa dirinya mempunyai kemahiran asas renang yang baik dan berstamina tinggi.
“Saya hantar Angah masuk kelas renang. Dia memang pandai berenang dan fit kerana sejak lapan bulan lalu dia selalu bersenam serta mengawal berat badannya kerana berhasrat menjadi anggota tentera.
“Mungkin kerana itu Angah merasakan dia mampu menyelamatkan rakannya.
“Namun arus di bawah mungkin terlalu deras dan mayat Angah juga ditemui di dasar pada jarak 50 meter dari lokasi dia hilang,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Faizal berkata, dia sebelum ini telah mengambil cuti selama seminggu bermula semalam sehingga Jumaat depan untuk pulang ke kampung halaman di Kota Bahru, Kelantan bagi menziarahi ibunya.
Ujarnya, dia bagaimanapun tidak menyangka cuti tersebut sebaliknya digunakan untuk menguruskan jenazah dan kenduri tahlil anaknya.