TAWAU – Mayat bayi lelaki masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemui di dalam tangki pam tandas di Hospital Tawau semalam.
Mayat bayi itu ditemui oleh pekerja pembersihan di hospital berkenaan, kira-kira pukul 7.10 pagi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, saksi wanita berusia 54 tahun terbabit menemukan mayat bayi itu ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di dalam tandas awam wanita di wad kecemasan hospital berkenaan.
“Wanita itu kemudian memberikan maklumat mengenai kejadian itu kepada pihak hospital sebelum laporan polis dibuat pada pukul 8.09 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati, bayi terbabit baru sahaja dilahirkan dan dipercayai dibuang ke dalam pam tandas berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jasmin berkata, setakat ini polis masih belum mengenal pasti ibu bayi terbabit dan usaha mencari waris mangsa sedang dilakukan.
“Susulan kejadian itu, polis telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan.
“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk tampil membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau,” katanya. – KOSMO! ONLINE