JOHOR BAHRU – Polis Johor mengesahkan panggilan telefon seorang lelaki dipercayai warganegara asing yang mendakwa telah meletakkan bom di pusat beli-belah dan hotel ternama di Southkey semalam adalah palsu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sepasukan 92 pegawai kanan dan anggota termasuk dua unit anjing pengesan K9 telah digerakkan ke lokasi pada pukul 6.15 petang sejurus laporan polis diterima.
“Hasil pemeriksaan oleh unit pemusnah bom dan anjing pengesan K9 hingga pukul 11.30 malam, tiada sebarang objek yang mencurigakan telah dikesan.
“Kawasan dilaporkan selamat dan beroperasi seperti sedia kala. Walau bagaimanapun, pihak polis terus berada di lokasi kejadian bagi menjalankan pemerhatian lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Semalam, lebih 9,000 pengunjung dan pekerja sebuah pusat beli-belah dan hotel terkenal di Johor Bahru bergegas keluar bangunan selepas dimaklumkan tentang ancaman bom.
Sebelum itu, tular gambar dan video di media sosial dalam pusat beli-belah dilihat orang ramai berpusu-pusu keluar meninggalkan bangunan tersebut.
Kamarul Zaman menasihatkan orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu gugat ketenteraman awam.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.-KOSMO! ONLINE.