PETALING JAYA – Air mata bapa kepada penyanyi Elyana, Emrizal Shamsuddin menitis sebaik menerima hadiah hari jadi berupa
kenderaan utiliti sukan (SUV), Proton X50 Jumaat lalu.
Pemilik nama sebenar Erneelya Elyana Emrizal itu berkata, hasrat memberikan orang tuanya hadiah berharga sudah disematkan dalam diri sejak kecil.
“Jumaat lepas saya dah tunaikan impian saya sebagai seorang anak. Impian saya dari dulu nak belikan rumah atau kereta untuk ibu bapa saya, cita-cita dari kecil.
“Tapi saya menanam impian untuk belikan sesuatu kepada mereka, bukan kerana saya kaya atau banyak duit tetapi itu yang membuatkan saya gembira,” katanya menerusi perkongsian video dalam Instagram.
Penyanyi lagu Kalis Rindu itu berkongsi momen syahdu membuat kejutan sehari selepas ulang tahun ke-69 insan kesayangannya yang jatuh pada 5 Oktober lalu.
Dalam video berkenaan, dia menyatakan mahu membuat kejutan di rumah berikutan ayahnya kurang sihat.
Sebaik lelaki itu mengambil kunci yang berada di dalam bungkusan, dia dilihat menyekat air mata apabila menyedari benda kecil dipegangnya adalah kunci kereta.
Ibu pelakon filem Dukun itu, Shamsidar Alias yang ketika itu turut dikelilingi anak cucu juga tidak dapat menahan sebak dan sama-sama menangis.
Menurut Elyana, kebetulan kereta yang digunakan orang tuanya sudah rosak sekali gus itu waktu paling tepat untuk mereka memandu kenderaan lebih selesa.
“Baru-baru ini kereta papa rosak, jadi inilah peluang saya tunaikan impian saya.
“Papa memang dari dulu tak pernah sekali pun minta apa-apa daripada anak-anak, sanggup susah sendiri dan dia paling pantang berhutang,” katanya.
Rata-rata netizen meluahkan perasaan gembira dengan kesungguhan ibu kepada tiga cahaya mata itu membahagiakan kedua-dua insan kesayangan.
“Semoga dimurahkan rezeki buat kak Nana yang sentiasa berbakti kepada ibu bapa,” kata seorang pengikut laman sosialnya. – KOSMO! ONLINE