fbpx

[VIDEO] Pihak industri sukan diminta bentuk jaringan kesatuan sukan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika hadir pada Hari Sukan Negara 2023 yang berlangsung di Dataran Putrajaya, hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar semua pihak dalam industri sukan membentuk jaringan dalam mengangkat martabat sukan negara.

Beliau berkata, kerjasama itu melibatkan semua persatuan sukan, sekolah, universiti, malah kelompok anak muda keseluruhan dapat bergabung dalam usaha mewujudkan rangkaian lebih erat supaya kegiatan sukan disegarkan.

Katanya, beliau menggesa tiga kementerian utama melibatkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dapat mempunyai jaringan itu agar semua kegiatan sekolah, institut pengajian tinggi (IPT) termasuk dalam kalangan masyarakat dan komuniti dapat disegarkan.

“Negara Madani ini hanya berkembang kalau rakyat diperkasakan, (bukannya kerajaan) dalam pelbagai bidang, pekerjaan dan paling utama ialah kesihatan.

“Saya mahu tekankan, negara kita ini aman tapi memperkasakan rakyat dalam negara ini kita mahu anak-anak cergas, sihat.

“Wahana sukan, olahraga dan semua aspek kesukanan dianggap penting dalam memberikan kesedaran, kecegasan dan sihat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Sukan Negara (HSN) 2023 di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Anwar berkata, idea memperkenalkan Malaysia Madani adalah bertujuan mengutamakan soal nilai dan yakin Malaysia akan selamat, bahagia dan cemerlang sekiranya anak-anak muda bangkit sebagai satu kesatuan, semangat, perpaduan tulen tanpa mengira kaum dan budaya masing-masing.

Anwar berkata, beliau begitu kagum dengan semangat berbilang kaum yang ditonjolkan oleh setiap lapisan masyarakat pelbagai kaum ketika hadir ke HSN 2023, ia jelas membuktikan pelbagai kaum di negara ini tidak mempunyai masalah perpaduan seperti yang digambarkan melalui percaturan dan pergaduhan di Parlimen.

“Ia beda (berbeza) sekali rakyat di bawah yang mahu keamanan, mereka menerima kenyataan kepelbagaian di negara kita.

“Di antara kegiatan utama yang kita galakkan ialah sukan. Kita mahu kita menang tidak kira nama dia apa, tetapi dia anak muda Malaysia mencatat kemenangan hebat, itu cita-cita kita,” ujarnya.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2024 semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau memberikan tumpuan dan menambah peruntukan kepada beberapa hal yang dituntut puluhan tahun sama ada kegiatan sukan secara umum, pelepasan cukai, sukan orang kurang upaya (OKU), malah rakan muda supaya anak muda bersifat cergas dalam semua bidang sukan.

“Saya lantik dua tokoh muda Hannah Yeoh (Menteri) dan Adam Adli Abdul Halim (Timbalan Menteri).

“Saya kata ini peruntukan tambahan (Belanjawan 2024) untuk kegiatan (sukan) tambahan, kerjalah, carilah jalan sebaik mungkin supaya kita dapat angkat martabat sukan negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI