KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki kebangsaan, Ng Tze Yong menempah final pertama pada saingan musim ini selepas melangkah ke perlawanan akhir kejohanan badminton Terbuka Arctic di Vantaa, Finland.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung sebentar tadi, pemain No.19 dunia itu tidak berdepan banyak masalah apabila mudah menewaskan pilihan ketujuh dari Jepun, Kanta Tsuneyama 21-12, 21-16 dalam tempoh 45 minit.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Tze Yong mengekalkan kemenangan bersih ke atas pemain No.16 dunia tersebut dalam tiga perlawanan selepas dua pertemuan terdahulu turut memihak kepadanya.
Walaupun dilihat seperti menang mudah, namun pemain kelahiran Johor itu diberikan tentangan sengit di set kedua ketika Tsuneyama cuba melakukan kebangkitan bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Tze Yong kini menantikan pemenang satu lagi aksi separuh akhir yang menemukan pemain profesional negara, Lee Zii Jia yang akan membuat perhitungan dengan pemain No.10 dunia dari Denmark, Anders Antonsen. – KOSMO! ONLINE