RUANG taman merupakan antara ciri rumah kediaman yang semakin hilang dalam landskap perumahan moden.
Kebanyakan rumah di bandar tidak memiliki ruang tanah yang mencukupi untuk dijadikan kawasan tanaman pokok-pokok serta ruang rehat.
Namun, bagi Norlela Khalid, kekangan itu bukan alasan baginya untuk tidak mewujudkan suasana taman di kediaman teres dua tingkatnya di Subang Jaya, Selangor.
Berbekalkan kreativiti tersendiri, wanita berusia 50 tahun tersebut, memanfaatkan sebahagian ruang di tempat letak kereta hadapan rumahnya untuk membina ruang oasis buat keluarga.
“Konsep taman mini ini tercetus apabila saya berasa sesuatu yang kurang dalam hiasan dalaman rumah iaitu tiada teman rehat dan santai di luar rumah.
“Sedang elok, kawasan tempat letak kereta ini luas. Jadi saya ambil kesempatan itu untuk mewujudkan sebuah taman mini untuk mereka yang mahu bersantai menghirup udara luar rumah,” ujarnya.
Bagi mewujudkan suasana nyaman dan sejuk, bahagian dinding di kawasan berkeluasan lebih kurang 20 x 15 kaki persegi itu dicat dengan warna kelabu lembut.
Pemilihan warna ini dipadankan lagi dengan cermin tingkap bahagian ruang tamu yang berwarna hijau lembut sekiranya dilihat dari luar rumah.
Tambah suri rumah sepenuh masa itu, dia memilih perabot putih berbanding warna kayu kerana ingin mewujudkan unsur kontra sesuai dengan konsep taman moden Eropah.
“Saya suka warna putih kerana ia akan menaikkan seri pada kawasan yang kecil.
“Ini bukannya taman sebenar yang terdedah pada sinaran matahari.
“Penggunaan warna putih membangkitkan lagi warna hijau. Sekali tengok, taman mini ini memiliki elemen taman moden cara Inggeris,” katanya.
Bekas usahawan pakaian tersebut turut memilih untuk menggunakan perabot berasaskan besi berwarna putih dan memiliki estetika seperti kayu asli.
Selain itu, penambahan hiasan juga diberikan dengan meletakkan pasu bunga, meja, bingkai gambar serta jam yang bertemakan taman.
Untuk menambah ilusi keluasan pada bahagian tersebut, dua bingkai cermin yang memiliki rupa seperti tingkap dipasang pada bahagian dinding.
Pada bahagian lantai pula diletakkan rumput karpet yang secara tidak langsung menimbulkan elemen realistik kepada keseluruhan hiasan dalaman.
Tambah Norlela, perabot-perabot dan aksesori bahagian taman mininya itu kebanyakannya dibeli di Ikea, Kaison, Shopee dan Romantika.
“Saya sangat sukakan dekorasi, jadi saya akan ‘selongkar’ internet atau berjalan-jalan di kedai-kedai perabot dan hiasan dalaman.
“Dari situ, saya akan beli barangan yang dirasakan sesuai dengan bayangan saya terhadap hiasan taman mini ini,” tuturnya.
Tidak lengkap sebuah taman tanpa tumbuh-tumbuhan yang menjadi identiti utama hiasan dalaman berkonsep tersebut.
Bagi taman mini di rumahnya, ibu kepada lima cahaya mata berkenaan memilih untuk menggunakan tumbuh-tumbuhan tiruan sahaja.
Menurut Norlela, pemilihan tersebut dibuat kerana tanaman asli bakal memerlukan kadar pencahayaan yang optimum.
“Kawasan ini agak terlindung daripada cahaya matahari. Jadi, sukar untuk tumbuhan asli tumbuh dan mekar dengan cantik.
“Selain itu, saya juga secara peribadi, tidak pandai jaga tumbuhan hidup,” selorohnya menutup bicara.