MESKI Instagram miliknya dibanjiri pelbagai komen netizen mengenai desas-desus Syamsul Yusof menjalin hubungan rapat dengan seorang wanita bernama Irenee Deanna, pelakon Puteri Sarah Liyana enggan mencampuri urusan bekas suaminya itu.
Jelas pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu, dia sudah tiada kena mengena dengan kehidupan peribadi pengarah itu selain hanya berhubung apabila melibatkan dua anak mereka.
Bagaimanapun, aktres berusia 38 tahun itu mengakui terkejut sebaik dimaklumkan mengenai khabar angin membabitkan bekas suaminya.
“Jujurnya, saya pun tak tahu, saya sibuk dengan kerja, terkejut juga mendengarnya. Saya pun tak mahu komen lebih-lebih sebab itu hal peribadi Syamsul.
“Tiada kena mengena dengan saya, kami berhubung sebab hal anak-anak. Itu sahaja, tidak pernah lebih daripada itu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah pelakon Hijrah Janna itu lagi, dia hanya mengetahui perkara tersebut daripada netizen dan tidak mengenali wanita yang dipercayai rapat dengan Syamsul.
“Saya tahu pun daripada netizen, saya sibuk dengan latihan teater muzikal Pak Pandir dan Lampu Ajaib dan sudah beberapa hari saya tak kemaskini apa-apa sebab fokus dengan latihan.
“Apabila Instagram saya dibanjiri pelbagai komen netizen, terkejut juga. Tak tahu sahih ke tidak sebab bukan hal kita jadi kita tak mahu masuk campur mahupun ambil tahu.
“Paling utama sekarang, hubungan dan tanggungjawab dia dengan anak-anak berjalan seperti biasa, yang lain daripada itu semua saya tak nak tahu,” tuturnya tegas.
Sebelum ini, media melaporkan seorang selebriti popular berstatus suami orang sedang menjalinkan hubungan cinta dengan wanita yang dikatakan ahli perniagaan.
Difahamkan, wanita jelita itu memiliki perusahaan permotoran selain berasal dari keluarga berada.
Susulan khabar tersebut, rata-rata netizen memetik nama anak kepada sutradara Datuk Yusof Haslam selepas video makan malam bersama Irenee Deanna itu dan keluarganya tersebar.
Malah, rata-rata seakan-akan memberi restu terhadap hubungan itu walaupun sutradara berusia 39 tahun itu sudah mempunyai isteri, Ira Kazar.– KOSMO! ONLINE