ISKANDAR PUTERI – Seorang rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket pekerjaan palsu apabila kini terkandas di Myanmar dan diminta membuat pembayaran sebanyak RM72,000 sekiranya mahu pulang ke tanah air.
Perkara itu didedahkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat semasa menghadiri Majlis Penutup Ramah Mesra Polis Johor Bersama Brothers Motor 3.0 di Medini, di sini hari ini.
Menurut beliau, pemuda berusia 33 tahun dan berasal dari Masai, Johor Bahru memaklumkan perkara itu kepada ibunya menerusi panggilan telefon, kelmarin.
“Ibu mangsa yang membuat laporan polis memberitahu, pada mulanya anaknya menerima tawaran pekerjaan di Pulau Pinang, sebelum dibawa ke Bangkok, Thailand.
“Namun sindiket yang menawarkan pekerjaan itu kemudian membawanya ke Myanmar dan meminta bayaran sekiranya mangsa mahu dibenarkan pulang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutupan program tersebut.
Sehubungan itu, Kamarul Zaman memberitahu pihaknya akan meminta bantuan daripada Bukit Aman serta Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) bagi membawa pulang mangsa terbabit.
“Saya juga mahu mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan daripada pihak tidak dikenali.
“Sekarang sudah ramai mangsa tertipu di tangan scammer kerana teruja dengan tawaran kerja lumayan termasuk di luar negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE