SEPERTI dijangka, skuad AMD Dream merangkul gelaran kejuaraan kategori bawah 13 (B-13) tahun Piala Supermokh 2023 selepas menewaskan Lech Poznan FC (Poland) menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 pada aksi final hari ini.
Pada perlawanan yang berlangsung di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang itu, kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 pada masa perlawanan sebenar dengan gol skuad tuan rumah dijaringkan Muhammad Amirul Haziq manakala Lech Poznan meraih gol menerusi Pisarek Bogdan.
Ketua jurulatih AMD Dream, Ekhsan Bukhara berkata, kejuaraan diraih adalah hasil kerja keras yang dipamerkan oleh semua pihak termasuk barisan kejurulatihan, pengurusan dan khususnya barisan pemain.
“Alhamdulillah, syukur diatas kejayaan hari ini, semua pemain berjuang semata-mata untuk bergelar juara dan mereka berjaya melakukannya.
“Masih banyak kerja perlu dilakukan selepas ini terutamanya memanfaatkan peluang didepan gawang lawan, kami berjaya mencipta peluang namun ketumpulan bahagian serangan.
“Jika dilihat barisan pemain, saya menurunkan pemain-pemain yang berbeza, tiada pemain yang tetap, ini untuk memberi pengalaman dan Alhamdulillah pemain membuktikannya diatas padang.
“Terima kasih kepada Majlis Sukan Negara dan pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan kali ini,” katanya selepas tamat perlawanan.
Bagi kategori B-12 tahun pula, kejuaraan jadi milik NFDP A yang menewaskan JDT dengan keputusan 5-2 manakala kategori bawah 14 (B-14) tahun menjadi milik penyandang juara Buriram United yang menewaskan SSBJ, 6-0. – KOSM0! ONLINE