MELAKA – Seorang pelajar lelaki ditemukan lemas selepas tiga jam dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan rakannya di Pantai Mutiara, Kem Terendak, Sungai Udang, di sini, malam tadi.
Mayat Faris Darwisy Mohd. Faizal, 16, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak ditemukan pasukan skuba Rejimen Gerak Khas (Komando) Tentera Darat pada pukul 9.25 malam di kedudukan kira-kira 50 meter dari tempat mangsa hilang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa tiba di pantai itu pada pukul 4.30 petang bersama 13 rakannya bagi meraikan majlis perpisahan dua guru pelatih yang tamat sesi mengajar di sekolah mereka.
“Mereka membuat aktiviti perkelahan di tepi pantai bagi meraikan dua guru pelatih sempena hari terakhir mengajar di SMK Kem Terendak.
“Mangsa dan rakannya kemudian bermandi-manda, namun tiba-tiba rakannya itu hampir lemas dan si mati cuba menyelamatkannya tetapi dia yang tenggelam lalu hilang,” katanya kepada pemberita.
Tambahnya, rakan yang lain serta guru bagaimanapun hanya sempat melihat tangan si mati terkapai-kapai sebelum dapat berbuat apa-apa.
“Selain pihak polis, operasi mencari dan menyelamat mangsa turut disertai pasukan komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dan pasukan skuba bomba BBP Masjid Tanah.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – KOSMO! ONLINE