fbpx

PATI lari guna ‘lorong tikus’, menyorok atas bumbung elak diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara PATI yang diberkas Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor dalam Ops Sapu di dua lokasi penempatan haram di Gelang Patah, Iskandar Puteri, Johor, semalam.

ISKANDAR PUTERI – Lari lintang-pukang melalui lorong tersembunyi malah ada yang bertindak menyorok di dalam semak-samun serta di atas bumbung kontena untuk mengelakkan diri daripada dicekup.

Usaha beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) itu bagaimanapun gagal apabila diberkas dalam serbuan Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor di dua lokasi penempatan haram di Gelang Patah di sini semalam.

Pengarah JIM Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, operasi bermula pada pukul 12 tengah malam itu, seramai 195 PATI berusia antara 19 hingga 69 tahun berjaya diberkas dalam dua serbuan berasingan.

Ujarnya, dalam Ops Sapu itu, seramai 641 warga asing dan tempatan diperiksa termasuklah pemeriksaan terhadap pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian UNCHR.

“Hasil pemeriksaan, JIM Negeri Johor menahan 62 lelaki warga Myanmar, lelaki Bangladesh (55), lelaki India (28), lelaki Indonesia (26), wanita Indonesia (lima), lelaki Pakistan (16), lelaki China (dua) dan Timor Leste (satu).

“Kesemua mereka yang ditahan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1958/63 (Akta 155),”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baharuddin berkata, operasi itu dijalankan susulan aduan berhubung PATI disyaki tidak memiliki pas dan dokumen perjalanan yang sah.

Ujarnya, lokasi itu terletak jauh dari laluan utama merupakan penempatan haram bekas tapak pembinaan yang dikelilingi ladang kelapa sawit.

Katanya, terdapat lebih 15 buah kontena yang dijadikan rumah tempat berteduh selain banyak lorong-lorong tersembunyi bagi PATI meloloskan diri daripada ditangkap.

Kesemua PATI dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut.

“JIM menyeru kepada majikan dan semua PATI yang berkelayakan untuk mengambil peluang menyertai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang berakhir pada Disember ini,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI