fbpx

MYAirline: Terima 12,000 e-mel, bayar balik tiket ambil masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Syarikat penerbangan tambang murah MYAirline kini dalam usaha mempercepatkan proses bayaran balik semua penumpang yang terjejas akibat penggantungan operasinya baru-baru ini.

Eksekutif Interim, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya juga berharap orang ramai dapat bersabar ketika syarikat itu sedang mengendalikan lebih 12,000 e-mel berhubung perkara tersebut.

“MyAirline ingin menyampaikan permohonan maaf yang tulus kepada semua penumpang dan agensi penerbangan yang terjejas akibat penggantungan operasi kami yang tidak dijangka.

“Bagi pihak MYAirline, kami ingin merakamkan kekesalan yang mendalam mengenai peristiwa baru-baru ini dan bagaimana ia memberi kesan kepada semua penumpang kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, MYAirline juga dalam proses mewujudkan talian hotline, untuk membantu penumpang yang terjejas dengan lebih baik.

“Untuk memudahkan proses bayaran balik, penumpang digalakkan untuk memberikan nombor tempahan (PNR) mereka dan sila e-mel kepada kami di [email protected].

“Mengenai status pekerjaan kakitangan MYAirline, semua kakitangan MYAirline masih dalam pekerjaan penuh. Kami tidak meletakkan sesiapa bercuti tanpa gaji,” jelasnya.

Selain itu, berkenaan dengan perkongsian strategik, MYAirline berbesar hati untuk berkongsi bahawa pihaknya telah menerima pelbagai tawaran dan sedang menilai cadangan itu dengan tekun.

“Kami akan terus memberikan maklumat terkini kepada penumpang kami yang dihargai dan pihak berkepentingan yang berkaitan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI