JAKARTA – Juara enam kali MotoGP, Marc Marquez mengakui dia enggan memusnahkan keseluruhan operasi pasukan Repsol Honda dengan membawa keluar keseluruhan kru pasukannya berhijrah ke pasukan Gresini Racing pada tahun depan.
Marquez secara rasmi sah akan menyertai pasukan satelit Ducati tersebut tahun depan sekali gus bakal bergabung dengan adiknya, Alex Marquez untuk memacu jentera Desmosedici GP23.
Tegas Marquez, dia tidak akan dapat membawa semua kru pasukannya yang telah bekerjasama dengannya sejak 11 tahun lalu, namun pelumba Sepanyo itu berharap dapat membawa sekurang-kurangnya seorang mekanik.
Ujarnya lagi, keputusan itu sukar dibuat dan dia dijangka akan berpisah dengan ketua kru pasukannya, Santi Hernandez.
“Masalah terbesar saya ialah semua pasukan saya. Saya telah berbincang secara mendalam, mereka adalah kawan saya, mereka menasihati saya dengan cara yang baik.
“Perbincangan tersebut banyak membantu saya membuat keputusan. Saya mungkuin hanya akan membawa seorang mekanik, saya rasa ia tidak akan menjadi masalah.
“Saya tidak boleh membawa semua pasukan atas dua sebab. Satu, saya tidak akan memusnahkan pasukan Repsol Honda. Kedua, saya juga tidak mahu merosakkan Gresini kerana mereka ada keluarga besar dan saya mesti menyesuaikan diri dengan keadaan,” katanya. – AGENSI