fbpx

Lelaki asing beri amaran henti sokong Palestin, ugut letup pusat beli-belah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai polis menunjukkan kotak susulan kejadian gempar pusat beli-belah dan hotel menerima panggilan mendakwa telah meletakkan bom di beberapa lokasi di bangunan itu.

JOHOR BAHRU – Pihak pengurusan pusat beli-belah dan hotel ternama di bandar raya ini gempar terima panggilan daripada seorang lelaki warganegara asing yang mendakwa telah meletakkan bom di beberapa lokasi di bangunan itu.

Lelaki bersuara garau itu memberi amaran kepada pihak pengurusan itu supaya berhenti memberikan sokongan kepada perjuangan Palestin ketika ini.

Ini adalah kali pertama Malaysia menerima ancaman keselamatan untuk meletupkan bangunan susulan pertempuran rejim Israel di Palestin yang melibatkan Hamas, pertempuran yang memasuki tempoh seminggu yang menyebabkan hampir 2,000 terkorban.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihak pengurusan bangunan itu menerima panggilan tersebut kira-kira pukul 5.38 petang tadi sebelum menghubungi pihak polis.

Raub turut terlibat dalam operasi pengesanan yang dilakukan di pusat beli-belah yang menerima ancaman bom hari ini.

Katanya, pihaknya mendapat laporan mengenai perkara itu pada pukul 6.10 petang berhubung panggilan telefon yang mengancam keselamatan tersebut.

“Lelaki yang mengaku seorang warganegara asing telah meletakkan bom di beberapa kawasan di dalam bangunan itu. Lelaki sama turut beri amaran supaya jangan beri sokongan kepada Palestin.

“Kita telah mengarahkan tindakan pencariann bom dilakukan di seluruh pelusuk bangunan sekitar 6.30 petang dan mengarahkan pengosongan bangunan dilakukan.

“Ini merupakan pertama kali ancaman bom berhubung ketegangan di Palestin diterima di negara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Raub berkata, seramai 12 pegawai kanan dan 60 pegawai rendah polis termasuk unit pemusnah bom dan dua unit K9 yang dibantu pihak bomba membabitkan 24 anggota dan pegawai dengan kekuatan tiga buah jentera.

Beliau berkata, sehingga pukul 9 malam tadi, polis mengesahkan kawasan parkir pusat beli-belah itu dalam keadaan selamat dan tidak menjumpai sebarang perkara tidak diingini.

Susulan itu, katanya, pihak polis membenarkan kira-kira 9,000 pengunjung yang meletakkan kenderaan di kawasan parkir pulang pada pukul 9.15 malam.

Raub bercakap kepada pemberita hari ini.

Katanya, pemeriksaan turut dibuat di hotel terbabit setelah 892 penginap hotel itu diarahkan turut mengosongkan bangunan setinggi 28 tingkat itu.

“Setakat pukul 11 malam ini, unit pemusnah bom masih melakukan kerja pengesanan dibuat di hotel dengan 90 peratus sudah diperiksa, manakala bangunan pusat beli-belah selamat sepenuhnya.

“Kita masih menunggu laporan penuh daripada unit pemusnah bom bersama unit K9, selepas itu barulah kita buat keputusan berhubung pengoperasian bangunan terlibat itu,” katanya.

Tambahnya, pihak polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan identiti pemanggil tersebut serta mengesan lokasi panggilan itu dibuat. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI