TEL AVIV – Seorang wanita membawa selaras raifal M16 semasa membeli-belah di Sderot semalam, beberapa hari selepas Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel pada Sabtu lalu, lapor portal berita MailOnline.
Wanita muda itu memakai baju-T kelabu longgar, seluar pendek biru tua dan selipar. Dia dilihat membawa beg plastik bersama raifal disangkut pada badannya ketika berjalan menuju ke kereta miliknya.
Sderot terletak kurang 1.6 kilometer dari Semenanjung Gaza dan merupakan salah satu bandar sempadan yang diserang pejuang Hamas pada awal pagi Sabtu lalu.
Berpuluh-puluh orang awam dan sekurang-kurangnya 20 anggota polis Israel terbunuh dalam serangan pejuang Palestin di bandar tersebut.
Walaupun tentera Israel telah menguasai semula sempadan Israel-Gaza, Rejim Zionis tetap berwaspada terhadap sebarang kemungkinan pencerobohan Hamas atau militia Hizbollah dari Lebanon. – AGENSI