KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera dengan membaiki jalan sekitar bulatan Kampung Pandan menghala Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), di sini, selepas mendapat aduan beberapa kemalangan beberapa hari lalu.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menghantar beberapa anggota bertugas bagi tindakan pembaikan segera di lokasi kejadian.
“Pagi ini DBKL menghantar beberapa orang petugas ke lokasi di bulatan Kampung Pandan menghala masuk Lebuh Raya MEX bagi mengambil tindakan pembaikan segera, susulan daripada beberapa kejadian kemalangan yang dilaporkan berlaku di lokasi berkenaan baru-baru ini.
“Kerja-kerja pembaikan segera ke atas ‘expansion joint’ jambatan ini diharap dapat mengelakkan kejadian kemalangan dari berlaku lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, pihaknya menasihati pengguna lebuh raya agar lebih berhati-hati apabila melalui lokasi berkenaan.
Pada Khamis lalu, beberapa video yang dimuat naik oleh @rezzadaniel di Twitter, yang memaparkan beberapa penunggang motosikal jatuh ‘tergolek’ akibat jalan licin telah mendapat perhatian daripada orang ramai.
Menurut perkongsian Rezza, kejadian itu berlaku di jejambat Bulatan Kampung Pandan memasuki Lebuh Raya MEX dan MyTown.
“Jalan di sini ada besi yang memang licin gila walaupun bukan pada waktu hujan. Sesiapa yang pernah bawa motosikal tahu la, memang ‘geli-geli’ tayar motosikal.
“Aku lepak bawah jambatan tak sampai lima minit dah tiga orang jatuh, bukan salah rider bawa laju. Bawa perlahan pun boleh gelincir,”tulisnya.
Susulan kejadian itu, dia berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan membaiki jalan di lokasi tersebut agar keselamatan pengguna jalan raya lebih terjamin. – KOSMO! ONLINE
Aku jarang publickn post aku. Tapi this time kena viralkan sbb ni melibatkan public safety.
Sekarang ni musim hujan belah petang, time orang balik kerja. Ada satu kawasan kat flyover atas Bulatan Kampung Pandan nk masuk MEX and and MyTown ni
JALAN NI MEMANG BAHAYA ‼️‼️ pic.twitter.com/CqxdiWOXp8
— Ts. Rezza Danial 🇲🇾 (@REZZADANIAL) October 12, 2023