PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah diperuntukkan sebanyak RM19.06 bilion melalui Belanjawan 2024 dengan kenaikan 2.95 peratus berbanding RM18.51 bilion pada Belanjawan 2023.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peningkatan peruntukan itu jelas menggambarkan peranan penting KDN sebagai pemangkin kerangka Ekonomi Madani bagi memperkukuh perpaduan dan keselamatan negara.
“Ia juga memperlihatkan kerajaan serius dalam usaha memastikan agensi penguatkuasaan terus memperhebatkan tindakan dalam memelihara kesejahteraan rakyat, menangani ketirisan hasil, memperketatkan langkah kawalan penyeludupan.
“Selain meningkatkan usaha penguatkuasaan serta operasi secara bersepadu melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jelasnya, KDN amat berbesar hati atas perhatian dan peruntukan yang diberi oleh kerajaan.
Saifuddin berkata, terdapat 15 inisiatif di bawah KDN yang bakal ditambah baik dan diperkasakan antaranya, mewujudkan Baitul Mahabbah iaitu penyediaan penempatan sementara kanak-kanak daripada pusat tahanan imigresen dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.
“Selain itu, meneruskan Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang menawarkan perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui sebahagian peruntukan daripada RM26 juta yang diumumkan.
“Peruntukan sebanyak RM20 juta bagi meningkatkan fungsi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam membanteras jenayah scam.
“Memperuntukkan RM20 juta sebagai Geran Pertubuhan Madani bagi manfaat penduduk setempat dalam melaksanakan tanggungjawab bersama untuk pelaksanaan program-program kesukarelaan, perpaduan serta aktiviti pencegahan jenayah dan bencana,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE