fbpx

Belanjawan 2024: Pengenalan insentif cukai tarik pelaburan asing, domestik – MIDA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyambut baik cadangan Kerajaan memperkenalkan insentif cukai seperti dalam pembentangan Belanjawan 2024 semalam.

Ini kerana kata Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman, langkah tersebut mampu menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Jelasnya, langkah itu selaras dengan visi MIDA untuk menarik pelaburan bernilai RM89 bilion menjelang 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang bakal mengukuhkan ekosistem sektor perkilangan dan perkhidmatan.

“Dengan pengumuman tersebut, Malaysia bakal menarik pelaburan lebih berkualiti dan mampan dalam mengharungi ekonomi global yang kian mencabar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Arham berkata, MIDA juga menyambut baik pengumuman penubuhan Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) yang bertanggungjawab melaporkan secara terus kepada Majlis Pelaburan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Katanya, jawatankuasa yang dipengerusikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan dapat menyelaras aktiviti pelaburan dan perdagangan dengan lebih berkesan, berkoordinasi dan holistik.

Selain itu ujarnya, pengumuman Kerajaan untuk melaksanakan kadar cukai efektif minimum di peringkat global (Global Minimum Tax – GMT) pada tahun 2025 dijangka akan memberikan impak positif terutamanya dalam menarik pelaburan baharu serta pelaburan sedia ada oleh syarikat multinasional.

“Ini juga akan memberi jaminan kepada para pelabur terhadap perancangan negara dalam pelaksanaan GMT,” kata beliau.

Pada masa sama, Arham menambah, MITI dan MIDA terus komited merealisasikan visi yang digariskan dalam Kerangka Kerja Ekonomi Madani sebagai sebuah negara bangsa yang progresif, makmur dan mampan.

“Belanjawan 2024 yang strategik, berupaya memperkasakan perniagaan serta memupuk keupayaan baharu dan meningkatkan nilai ekosistem ekonomi negara.

“Ini akhirnya mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta memberi manfaat berterusan kepada rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI