fbpx

Belanjawan 2024: Kenaikan peruntukan, tanda serius negara tegakkan syiar Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Aziz ketika memanah sebagai simbolik penutupan kejohanan berkenaan di Dayakboi Playground, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyambut baik peruntukan RM1.9 bilion dalam Belanjawan 2024, bagi meningkatkan syiar Islam di negara ini.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, ini adalah satu petanda yang menunjukkan keseriusan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang menegakkan panji Islam.

“Banyak peruntukan diberikan kepada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) bagi melaksanakan pelbagai perkara pada Belanjawan kali ini.

“Pastinya Jakim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar akan melakukan yang terbaik untuk melaksanakan semua yang dibentangkan dalam Belanjawan semalam,” katanya selepas menghadiri Kejohanan Memanah Agensi dan Anak Syarikat MAIS dan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Selangor di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan jumlah tersebut supaya pendidikan ilmu Islam dapat terus berkembang dalam negara.

Peruntukan bagi meningkatkan syiar Islam pada Belanjawan 2024 meningkat sebanyak RM400 juta, berbanding RM1.5 bilion pada Belanjawan 2023.

Malah, kata Abdul Aziz, majlis agama Islam negeri akan menerima tempias daripada peruntukan tersebut sekiranya mereka ingin memohon apa-apa peruntukan daripada Jakim.

Mengulas berhubung peruntukan lebih RM2.4 bilion bagi membantu individu miskin tegar, beliau berkata, ia merupakan satu langkah dalam misi Perdana Menteri yang mahu menjadikan negara ini sifar penduduk miskin tegar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI