fbpx

Belanjawan 2024: Kementerian Pertahanan bina tujuh pos kawalan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adly. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Peruntukan RM19.7 bilion menerusi Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam turut memberi keutamaan kepada Kementerian Pertahanan dalam memperkasakan keselamatan persempadanan negara di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, kementerian akan melaksanakan pembinaan tujuh pos kawalan baharu di pintu-pintu masuk sempadan negara antaranya di Melikin dan Pa’ Daleh, Sarawak.

Menurutnya, sebanyak empat pos kawalan telah dibina tetapi jumlah itu tidak mencukupi susulan perkembangan aktiviti di wilayah tersebut yang sekali gus menuntut peningkatan kawalan keselamatan di pintu sempadan Sarawak-Kalimantan, Indonesia.

“Pembinaan tujuh pos itu nanti akan menjadikan jumlah keseluruhan 11 pos di pintu sempadan Sarawak-Kalimantan, selain pembelian tiga buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) bagi kawalan di
Markas Wilayah Laut 3 (MAWILLA 3).

“Antara lain yang kita berikan tumpuan adalah di MAWILLA 4 di Sarawak, dengan cara itu kita akan dapat memperkukuhkan lagi Maritim kita,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pendanaan Politik di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Ujarnya, peningkatan kawalan keselamatan itu juga perlu dilaksanakan dengan segera berikutan isu-isu yang timbul di Laut China Selatan berkaitan aktiviti menggali minyak, keselamatan nelayan dan perkembangan pesat Zon Ekonomi Bebas di kawasan terbabit.

Dalam pada itu beliau berkata, peruntukan belanjawan pada kali ini turut membuktikan kebajikan anggota tentera termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen tidak pernah dipinggirkan sebaliknya terus diberi perhatian serius oleh kerajaan.

“Ini terbukti apabila peruntukan Rumah Angkatan Tentera bagi golongan berkenaan
dipertingkatkan kepada RM400 juta berbanding RM100 juta pada Belanjawan 2023.

“Peruntukan itu juga akan digunakan untuk menyelenggara dan membaik pulih semua Rumah Keluarga Angkatan Tentera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI