SUNGAI PETANI – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyokong tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu kilang beras di negeri ini bagi memastikan beras tidak disimpan melebihi permit dibenarkan.
Beliau berkata, terdapat 67 kilang beras di Kedah dan daripada jumlah itu sembilan kilang tidak aktif.
“SPRM, badan Kawalselia Padi dan Beras (KPB) serta polis perlu serbu lebih banyak kilang di Kedah ini berdasarkan simpanan beras mematuhi permit atau tidak.
“Mana yang langgar peraturan tangkap dan tutupkan kilang itu tetapi semua pihak berkuasa kena tegas kerana saya dah cakap lama dah benda macam ni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Aman Solidariti Mempertahankan Bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa di Dataran Zero di sini, hari ini.
Kata Sanusi, dia tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan berhubung perkara itu kerana ia di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Semalam media melaporkan lima kilang di Kedah diserbu SPRM susulan siasatan penyelewengan pemberian subsidi kepada petani yang menjual beras tempatan ke kilang dilesenkan.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, agensi di bawah KPKM perlu membuat kajian yang lebih terperinci mengenai sumber beras negara dan mengemas kini keperluan negara dari semasa ke semasa.
Katanya, apabila berlaku krisis beras, Kedah dijadikan kambing hitam sedangkan kerajaan banyak memuji Selangor dan Pulau Pinang sebagai pengeluar beras yang tinggi.
“Dia dok puji Sekinchan dan Seberang Perai menghasilkan beras yang banyak, tiba-tiba mai masalah beras tala kat Kedah.
“Jangan cari kambing hitam, itu semua kuasa kementerian, dua tahun saya cakap ada kartel dalam industri padi ini, kartel ini buat macam-macam, pakat offer (tawar) mahal dan sekarang baru sedar ada penyorokkan jualan beras,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar pihak tertentu tidak mempolitikkan semua benda dan menyalahkan pihak lain berkaitan masalah beras ini. – KOSMO! ONLINE