KLANG – Impian seorang ibu tunggal anak empat mendiami rumah yang selesa akhirnya tercapai selepas dibantu menerusi Program Jiwa Murni (PJM) oleh Kementerian Pertahanan, baru-baru ini.
Rumah terletak di Batu 4, Jalan Kapar yang kini didiami oleh Norizan Talib, 60, bersama dua anaknya berusia 21 dan 26 tahun sebelum ini rosak terutama di bahagian dapur dan bilik susulan banjir besar melanda Selangor pada tahun 2021.
Menurut Norizan, dengan pendapatan RM350 sebulan sebagai pembantu tadika, dia tidak mampu membaiki rumah peninggalan arwah bapanya itu.
“Semasa kejadian banjir dua tahun lalu, rumah dimasuki air sehingga paras lutut. Disebabkan rumah ini sudah lama, keadaannya semakin uzur.
“Banyak kayu reput termasuk di bahagian dapur dan dinding tandas pula ditampal dengan kayu. Lagipun, kos membaiki seluruh rumah dianggarkan RM20,000, mana nak cari duit?” katanya ketika ditemui di sini.
Norizan yang merupakan asnaf Lembaga Zakat Selangor mengakui terkejut mendapati kerja-kerja baik pulih di bawah PJM termasuk penambahan bumbung di pekarangan rumah mengambil masa dua minggu.
“Ramai juga jiran-jiran tengok dan memuji, cantik hasil kerja anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD),” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan, Azidah Mat Lazim, 57, mengakui tidak mengetahui PJM tersebut turut melibatkan kediaman orang awam.
“Kami sudah memohon bantuan dari pelbagai pihak sejak 2017, sebelum pemimpin tempatan menyalurkan permohonan atas nama suami saya, Azhar Ishak kepada Kementerian Pertahanan.
“Ingatkan PJM ini hanya untuk anggota, pesara atau veteran ATM sahaja. Langkah seperti ini sudah pasti akan menambah ‘keakraban’ antara orang awam dan ATM,” katanya.
PJM merupakan inisiatif Menteri Kanan Pertahanan untuk membantu meringankan beban golongan asnaf dan fakir miskin di seluruh negara.
Sebanyak 325 projek PJM telah dilaksanakan pada tahun 2021 dan 2022, yang mana RAJD dipertanggungjawab dan digerakkan untuk menyelaras serta melaksanakannya.
Sejumlah 55 PJM lagi bakal dilaksanakan melibatkan 50 penerima. Selain itu, terdapat lima lagi projek di Negeri Sembilan yang kini dalam proses tinjauan dan pengesahan skop oleh pasukan.