PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila suaminya sanggup mencampak pinggan yang berisi nasi dan lauk ke atas lantai sebagai tanda protes terhadap masakan isterinya.
Menurut wanita yang dikenali sebagai Ina Anna, dia terkejut apabila suaminya bertindak kasar hanya kerana lauk sambal sotong yang dimasaknya itu, tidak diletakkan garam.
“Baru seminggu kahwin, saya cuba masakkan suami sambal sotong, cuma saya dari kecil memang dah terbiasa makan makanan tanpa garam. Jadinya saya masak juga tidak letak garam.
“Tidak sangka, suami jadi marah lepas dia makan, sampai sanggup campak pinggan ke lantai. Paling pedih, bila suami kata saya isteri tak guna sebab tak pandai memasak,” luahnya kecewa menerusi satu hantaran di Facebook, semalam.
Tambah wanita itu lagi, tindakan suaminya itu dianggap keterlaluan kerana langsung tidak memberi peluang untuk dirinya belajar memasak memandangkan mereka baru sahaja mendirikan rumah tangga.
“Kalau memang makanan saya tidak ikut seleranya, tegur dan beri peluang saya belajar. Tak akan harap semua sempurna. Sebab hal makanan boleh baran sampai macam ini, tak tahu bagaimana nasib saya akan datang, kalau pinggan dah boleh campak, takut satu hari tangan pun boleh naik pada saya,” kongsi wanita itu.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mempersoalkan tindakan lelaki tersebut kerana terlalu kasar menjadi seorang suami.
“Kalau kau ada masalah luar, jangan bawak marah itu pada isteri. Sebab sambal sotong tak ada garam, kau naik hantu sampai macam itu. Tak layak jadi suami la bro,” perli Nurin.
“Aku pun makan sambal tak ada garam, okay ja. Tak rasa tawar mana pun sebab dah rasa pedas cili tu. Melampau sangat sampai campak pinggan. Rezeki itu kau campak-campak. Jangan sampai Allah sempitkan rezeki kau pula baru ada akal,” tegur Naim Rozy. – KOSMO! ONLINE